Bangga! Nasi Kandar Pulau Pinang tersenarai makanan terkenal di New Zealand

Bangga! Nasi Kandar Pulau Pinang tersenarai makanan terkenal di New Zealand

 

RESTOREN Nasi Kandar Pulau Pinang mendapat sambutan penduduk Auckland sehingga berjaya meletakkan Nasi Kandar dalam senarai 100 Makanan Terbaik Ikonik Auckland pada tahun ini.

Memetik laporan FMT, Joel Singam, 34 berkata, pada bulan lepas dia mendapat surat yang mengatakan dia tersenarai dalam 100 Makanan Terbaik Ikonik Auckland tahun ini.

“Saya tahu orang mencalonkan saya tetapi saya tidak terfikir akan menang,” katanya.

Pemenang ditentu oleh pengunjung tempatan yang mengundi dalam talian untuk hidangan kegemaran mereka sepanjang masa di bandar tersebut.

Joel telah membanggakan Malaysia dengan meletakkan nasi kandar dalam 100 teratas daripada 1,000 hidangan yang lain.

Beliau menceburi perniagaan nasi kandar pada Ogos tahun lalu apabila dia dan isterinya, Alexandra Kumaran memutuskan untuk membuka gerai di pasar malam.

Joel berkata, pelbagai cabaran yang dihadapinya sehingga dia berjaya membuka restorennya dalam masa 12 bulan sahaja.

“Kami membuat pembukaan restoren pada 15 Ogos lalu dan ditempah selama dua minggu berturut-turut,” katanya.

Pencapaian Ikonik Auckland tersebut telah mendorong Joel untuk mengembangkan peniagaannya.

“Kami berhasrat untuk membuat sos botol dan mengembangkan Nasi Kandar Pulau Pinang sebagai francais di New Zealand.

“Terdapat banyak bandar yang tidak mendapat peluang untuk merasai makanan Malaysia maka saya berharap untuk membuka restoren di setiap bandar,” katanya.

Joel juga berkata lokasi sasaran cawangan yang seterusnya ialah di ibu kota Wellington.

Sama ada francais ataupun santapan mewah, Joel berjanji akan menjadikan makanannya sebagai asli Malaysia. Seperti taglinenya “Masakan Malaysia akan kekal unggul”.