Banjir: Rumah tinggal tangga, nenek ini jadi glamour!
UJIAN sang pencipta pasti berbeza untuk setiap hambanya. Namun tidak siapa pun mengetahui hikmah di sebalik setiap musibah yang menimpa selepas itu.
Begitulah yang terjadi kepada Rohana Mahfuz, 76, yang menyifatkan kejadian rumahnya ‘lesap’ sekelip mata dihanyut banjir pada malam 19 November lalu sebagai takdir maha Pencipta.
Membahasakan diri sebagai nenek, Rohana tidak canggung menceritakan kehidupannya selepas ditimpa musibah itu.
“Sekarang ni nenek pulak yang glamour macam artis, setiap masa orang ramai datang berjumpa nenek, tangkap gambar dengan nenek.
“Dah macam Rosyam Nor dah nenek dibuatnya. Ramai yang datang sini. Ada yang datang menyatakan simpati, ada bagi sumbangan dan macam-macam lagi.
“Siapa sangka, ini semua kehendak Allah dan kita tiada hak untuk menghalangnya. Nenek pun dah reda dan bersyukur dengan ujian ini,” katanya kepada Malaysiapost.
Menurut Rohana, sebelum ini rumah pusaka yang didiaminya itu selalu dijadikan rumah pengambaran produksi drama dan filem.
Katanya, memandangkan rekabentuk menarik rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu di samping terletak bersebelahan sungai, ia memang tidak asing lagi di kalangan penggiat seni.
“Biar pun tinggal tangga, kali ini nenek pulak yang glamour, dah puas dah rumah ni masuk drama tv, cerekarama, filem sebelum ni. Dia bagi peluang pada tuan rumah pulak.
“Insyallah, lepas ni nenek akan berusaha bina rumah ni semula, kita kena cepat bangkit semula, kehidupan mesti diteruskan. Yang penting kita kena reda,” katanya penuh bermotivasi.
Menurut adiknya, Rohani Mahfuz, 58, keadaan kakak sulungnya tetap seperti biasa, peramah dengan orang ramai yang tidak putus-putus menziarahinya di tapak rumah itu.
Sejak kejadian banjir itu, kakaknya yang juga pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kini tinggal sementara di rumahnya di Ampang.
“Buat sementara ini setiap pagi, saya akan bawa dia ke sini. Kita bagi sokongan pada kakak walaupun dia nampak ok je. Banyak kenangan rumah ni katanya.
“Tapi tengoklah tu, ceria dan selamba je dia sembang dengan orang ramai. Mungkin bila kita cepat terima dan reda dengan ujian ini, kita jadi kuat dan cepat ‘moved on’.
“Insyallah, kami adik beradik akan cuba membina semula rumah pusaka ini, kerana ini lah rumah kenangan kami membesar bersama sejak kecil,” kata Rohani.
Dalam kejadian banjir besar malam Ahad lalu, rumah pusaka yang terletak di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, hanyut bersama air sungai yang melimpah.
“Inilah saja yang tinggal, tangga ni je yang ada, yang lain semua hanyut hilang entah ke mana. Nenek pula sehelai sepinggang, hanya ada baju, kain dan selipar ni sahaja,” kata Rohana.
Menceritakan detik cemas malam kejadian, Rohana yang tinggal berseorangan, tidak menyangka air naik begitu cepat.
“Selepas waktu Isyak, sepupu bagi tahu alihkan kereta, nenek pun cepatlah alihkan kereta ke tebing sana, kemudian nenek masuk balik rumah air sudah paras dada, tak sempat nak buat apa dah, nenek terus keluar cari tempat selamat ke rumah sepupu di atas sana,” katanya.
Menurut Rohana, dia hanya mengetahui keadaan rumahnya musnah selepas solat subuh pagi Ahad lalu.
“Memang terkejut, selepas Subuh tu nenek balik ke rumah untuk tengok keadaannya. Tak sangka banjir kali ini rumah nenek terus hilang, ni lah tangga yang tinggal.
“Nenek nak ucapkan terima kasih kepada semua yang simpati, kata-kata penguat semangat, beri sumbangan, yang datang dari jauh, itu semua tak dapat nenek balas. Terima kasih semua,” katanya.