Banjir: Wahai menteri, malulah pada Agong

Banjir: Wahai menteri, malulah pada Agong

Meja Pengarang

MENTERI tak faham bahasa, tak tahu malu…itu ungkapan yang sesuai buat para menteri yang kini sedang bercuti di luar negara ketika mana negara berdepan dengan bencana banjir besar.

Agak memalukan juga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan nada tegas terpaksa meminta menteri yang merancang untuk bercuti supaya membatalkan percutian dan yang berada di luar negara segera pulang ke tanah air.

Kasihan Perdana Menteri terpaksa bergerak secara solo, hanya beberapa kerat saja menteri yang turun padang, itu pun lebih kepada untuk bergambar berbanding berkhidmat kepada rakyat.

Lebih parah lagi apabila Menteri yang bertanggungjawab menguruskan bencana banjir gagal memahami peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berada di bawahnya.

Ditambah pula dengan perangai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Haru yang berkasut tumit tinggi ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri “Keluarga Malaysia” yang diberi markah 90 peratus, namun tidak sampai sebulan reputasi tercalar dek kerana kegagalan turun padang membantu rakyat dalam keadaan yang cukup mencabar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikhabarkan sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah, manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga turut berada di luar negara atas alasan bekerja.

Tidak perlu sebenarnya untuk Perdana Menteri mengarahkan Menteri membatalkan hasrat untuk bercuti, sepatutnya bila negara dalam situasai sebegini Menteri terus faham dan membatalkan hasrat untuk bercuti.

Dan yang berada di luar negara terus pulang ke tanah air, tangguh dulu umrah dan sebagainya, ingat peranan dan khidmat utama anda kepada rakyat.

Malu lah pada Yang di-Pertuan Agong, sejak hari pertama kejadian banjir lagi baginda mencemar duli turun padang, mengharungi air banjir melihat sendiri situasi rakyat yang dalam kesukaran.

Sampai ke hari ini baginda masih menjelajah turun padang melawat mangsa banjir di PPS.

Permaisuri Agong pula menyinsing lengan baju turun ke PPS, bertemu rakyat jelata yang terkesan dan tolong menyediakan makanan untuk orang ramai.

Tetapi, menteri yang berada di luar negara, sibuk di media sosial mengemaskini tugas yang dilaksanakan agensi di bawahnya bagi mengaburi mata rakyat.

Ingatlah wahai pak Menteri sekarang ini bukan musim bercuti meskipun di hujung tahun, segeralah turun padang bantu rakyat seikhlas mungkin.

Jadilah YB dalam erti kata yang sebenarnya iaitu, “Yang Bekhidmat” kerana anda dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat.