Bank ini umum moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir
Prihatin dengan pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara, Agrobank hari ini mengumumkan Pelan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan-pelanggan yang terkesan.
Pelan ini menawarkan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan sebagai sokongan membantu pelanggan yang terkesan berikutan kejadian banjir yang melanda sejak seminggu lalu.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelanggan adalah keluarga dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian mereka.
“Sebagai institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan kami dilindungi dan dibantu.
“Justeru, sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat pelanggan-pelanggan kami, Pelan Bantuan Banjir ini telah dirangka khas khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank.
Menurutnya, selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.
Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.
Selain itu, Agrobank juga akan meletakkan perkara ini sebagai perkara utama di mana pihaknya juga akan turut menghubungi pelanggan-pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini.