Bantuan lewat kerajaan seperti mahu bunuh rakyat Selangor!
AGENSI kerajaan yang lewat bertindak menguruskan bencana banjir di Selangor didakwa umpama mahu ‘membunuh’ rakyat negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sugip membidas kelewatan agensi kerajaan dengan mendakwa ia ‘sabotaj jahat’ kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Menteri Besar Selangor berkata beliau telah menelefon Perdana Menteri Ismail Sabri pada malam Jumaat dengan rayuan agar beliau menggunakan aset persekutuan ke kawasan terjejas.
“Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha ‘Selangor Bangkit’, bagi proses pemulihan negeri daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.
“Sepatutnya bencana berskala ini diuruskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh PM di mana Menteri Besar Selangor adalah salah seorang ahlinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenainya, Saari berkata, MKN bertanggungjawab menggerakkan semua agensi Kerajaan Persekutuan bertindak membantu rakyat ketika dilanda bencana.
“Dalam urusan bencana ini, MKN adalah merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara, negeri dan daerah.
“MKN juga bertanggungjawab untuk merangka strategi dengan menggerakkan semua agensi Persekutuan dan agensi negeri agar bekerjasama dan bertindak serentak.
“Jika tidak wujud struktur ini maka ia adalah satu pengabaian Kerajaan Persekutuan yang disengajakan. Dalam perkataan lain ia adalah satu perbuatan sabotaj ataupun lebih tepat khianat terhadap rakyat Selangor dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.
Saari menambah, apakah kelewatan kerajaan menghulurkan bantuan adalah muslihat untuk menunjukkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) lemah.
“Apakah ini muslihat untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor lemah dan usaha untuk menawan Selangor?
“Penjawat awam diminta akur kepada PM dan tidak mendedahkan kelemahan menteri.
“Sebagai wakil rakyat Hulu Kelang, saya mendapat luahan hati sekumpulan bekas penjawat awam. ‘Sampai hati mereka bunuh rakyat Selangor.
“Banjir boleh dielakkan sekiranya pam di pasang dan tindakan proaktif diambil demi selamatkan rakyat. Operasi menyelamat besar-besaran ini hanya mampu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan’,” katanya.