Bapa Adib merayu ‘kerajaan melayu Islam’ teruskan siasatan kematian anaknya

Bapa Adib merayu ‘kerajaan melayu Islam’ teruskan siasatan kematian anaknya

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tetap berharap pihak berkuasa meneruskan siasatan insiden kematian ahli bomba itu.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, sehingga kini pihaknya merasakan kematian anaknya masih belum terbela dan ahli keluarga tidak berpuas hati sekiranya kes itu ditutup.

“Sekiranya mahu tutup sementara tak apa, kita cuma tak mahu kes ditutup terus.

“Saya harap pihak polis terus lakukan siasatan, jika ada siasatan mesti akan ada petunjuk baharu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Mohd Kasim yang juga pesawah berkata, akan berbincang dengan peguam keluarga untuk tindakan yang sesuai bagi memastikan kematian Muhammad Adib terbela.

“Saya dan isteri pasti akan kecewa jika kes ini ditutup terus, saya akan bincang dengan peguam keluarga dan minta nasihat sekiranya ada tindakan yang sesuai boleh diambil untuk membela kematian anak saya,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.