Bayaran akhir STR tahun ini disalurkan sebelum Deepavali

Bayaran akhir STR tahun ini disalurkan sebelum Deepavali

 

Pembayaran akhir Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun ini akan disalurkan sebelum perayaan Deepavali secara berperingkat-peringkat mulai 7 November ini.

Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion yang diagihkan kepada 5.5 juta penerima.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, daripada jumlah ini, seramai 5.22 juta penerima STR sedia ada bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,200.

Turut menerima bantuan tunai di bawah STR Fasa 4 adalah lebih daripada 280,000 penerima baharu yang diluluskan untuk Rayuan STR 2023.

Mereka akan menerima sehingga RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Pada tahun ini, Kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR 2023 kepada 8.7 juta penerima yang memanfaatkan hampir 60% penduduk dewasa Malaysia bagi membantu mereka menangani cabaran kos sara hidup,” kata Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk tahun 2023, proses permohonan STR hanya dibuat setahun sekali namun sebagai penambahbaikan pada STR 2024, kerajaan akan mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Mulai 1 November 2023, individu yang layak boleh membuat permohonan baharu dan mengemas kini maklumat mereka untuk STR 2024 sepanjang tahun.

Ini bagi memastikan mereka yang layak namun tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh tampil mengemukakan permohonan masing-masing selain membenarkan penerima sedia ada membuat pengemaskinian sekiranya mempunyai perubahan maklumat.

Bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan.

Data tersebut akan disemak silang dengan data daripada beberapa agensi kerajaan bagi memastikan kelayakan untuk STR 2024 mengikut syarat yang ditetapkan.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Semakan status pembayaran dan kelulusan Rayuan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.