Beli jam tangan setengah juta antara Najib guna duit SRC

Beli jam tangan setengah juta antara Najib guna duit SRC

Jam tangan mewah bernilai RM583,491 didakwa antara salah satu pembelian barang menggunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang menyebabkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhkan hukuman penjara, pada Selasa.

Pengarang bersama buku Billion Dollar Whale, Tom Wright mendakwa, perkara tersebut berlaku semasa lawatan Najib di sebuah kedai jam jenama mewah di Ala Moana Center pada 2014.

Ujar Tom, Najib membeli jam tangan berkenaan sebagai hadiah hari jadi di mana pembayarannya didakwa diuruskan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dibayar menggunakan wang dana negara.

“Dia melawat bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Hawaii, tetapi terpaksa pulang ke Malaysia kerana bencana banjir besar. Isterinya (Rosmah) marah kerana memendekkan cutinya, lapor Sinar Harian.

“Jadi Najib membawa Rosmah ke kedai jam tangan mewah untuk membelikannya barang kemas bernilai 130,000 dolar (RM583,491), sebagai hadiah hari jadi dan membayarnya menggunakan kad kredit yang dijaga oleh Jho Low,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Selasa.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ulasnya, maklumat mengenai penyata kad kredit milik Najib telah dibocorkan oleh seorang sumber dan mereka melihat penggunaan kad berkenaan di sebuah kedai jam tangan mewah di Hawaii.

“Terdapat dua kedai di Honolulu, Hawaii. Saya telah dibuang daripada kedai yang pertama kerana bertanya soalan.

“Kemudian kami mendapat transkrip mesej telefon Jho Low, yang menunjukkan dia menghantar mesej dengan Najib mengenai masalah kad kredit di kedai jam tersebut.

“Dan kami mempunyai dokumen bank lain yang menunjukkan kad Najib dibiayai daripada 1MDB,” ujarnya.