Belum 1 Julai minyak kampit dah susah nak dapat, PM ‘lunyai’ dihentam netizen

Belum 1 Julai minyak kampit dah susah nak dapat, PM ‘lunyai’ dihentam netizen

Rakyat dilihat tidak berpuas hati dengan kegagalan kerajaan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan bekalan minyak masak kampit mencukupi di pasaran.

Facebook rasmi Perdana Menteri itu ‘disimbah’ kecaman selepas kerajaan mengumumkan tiada lagi subsidi minyak masak bagi kemasan botol selain dalam masa sama tiada lagi harga kawalan siling untuk ayam dan telur.

“Minyak masak paket tak nampak dijual dah sekarang. Banyak tempat tak ada. Penyangak sembunyikan stok. Di mana pemantauan pihak berkuasa?” soal seorang pengguna media sosial.

Dalam masa sama, ada yang merayu agar kerajaan meneliti semula pemansuhan subsidi minyak minyak masak bagi pek kemasan botol bagi mengelak rantaian kenaikan harga makanan.

Hal ini memandangkan, mulai 1 Julai peniaga makanan tentunya akan mula beralih kepada minyak paket berbanding botol.

“Minyak botol malam tadi di banyak kedai dah tak ada stok. Minyak paket jadi susah nak beli sebab ramai yang cari.

“Harga makanan akan naik. PM fikirlah dengan bijak, jangan bergantung kepada pegawai sahaja yang mungkin beri data tidak seperti di lapangan,” kata netizen.

Orang ramai turut mempersoalkan sejauhmana kerajaan berusaha menangani pihak tidak bertanggungjawab yang menyorokkan minyak masak bersubsidi dalam kampit supaya minyak masak botol laku.

“Kroni beli ikut pintu belakang berkotak-kotak. Rakyat marhaen terpaksa kira syiling beli minyak masak yang botol.

“Tak tahulah siapa yang tak buat kerja atau memang minyak masak paket tak cukup untuk tampung rakyat Malaysia ni,” keluh Adam Kamarudin pula.

Sehubungan itu, rakyat berharap kerajaan meningkatkan pemantauan agar kes menyembunyikan minyak bersubsidi tidak lagi terus berlaku.