Belum pun habis bicara di mahkamah, Ebit Lew sudah anggap dirinya tidak bersalah

Belum pun habis bicara di mahkamah, Ebit Lew sudah anggap dirinya tidak bersalah

PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew, menegaskan bahawa tuduhan terhadapnya hari ini, sebagai tidak berasas yang didakwa dilakukan kumpulan tertentu untuk menjatuhkan reputasi dan kredibilitinya.

Ebit berkata, beliau yakin pertuduhan ke atasnya memang sudah lama dirancang oleh kumpulan berkenaan dengan niat untuk mencemarkan namanya.

Bagaimanapun, Ebit berkata, beliau tidak berasa takut kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan serta akan melalui proses mahkamah dengan tenang.

“Berdasarkan pertuduhan tadi, saya melihat ia sebagai tuduhan yang tidak berasas, melampau dan memang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti saya.

“Ia bertujuan untuk saya (dipandang) hina, direndahkan, selain mahu saya menghentikan kerja membantu (amal) dan saya percaya ia (dilakukan) daripada satu kumpulan yang merancang bukan satu-dua hari untuk mengenakan saya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ebit mengakui terkejut serta tidak bersedia dengan pendakwaan hari ini, dan menjelaskan beliau ke Sabah adalah bagi misi bantuan dan bukan berhadapan pertuduhan mahkamah.

“Saya baru tahu beberapa hari lepas dan apabila diberitahu (bakal dituduh hari ini) saya terkejut juga, sebab saya masih dalam kerja amal di Sabah.

“Saya tidak rasa apa-apa sebab saya tidak bersalah. Memang daripada dulu lagi macam-macam gangguan terhadap kerja amal saya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan, Ebit berkata, pihaknya akan melalui proses pertuduhan berkenaan terlebih dahulu, sebelum menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Saya serahkan kepada peguam, saya akan lalui proses mahkamah ini sampai habis. InsyaAllah lepas itu barulah buat keputusan lain (tindakan lanjut),” katanya.

Dalam pada itu Ebit berkata, beliau redha dengan ujian berkenaan dan yakin ia adalah ketentuaan Allah SWT bagi mengampunkan dosa serta menaikkan darjatnya.

“Nabi Muhammad SAW pun diberi ujian, saya amat jauh sekali dibandingakan dengan Rasullullah. Jadi saya rasa bersyukur dengan ujian ini.

“Namun, saya akan mengelak benda yang komen (ulas) pasal orang, sebab saya memang begitu dari dulu. Saya tidak bersalah dan saya akan melalui proses ini dan saya berharap doa daripada semua,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Ebit didakwa di Mahkamah Litar Tenom, Sabah hari ini terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Ebit, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.