Bendahari Parti Zuraida dipenjara 13 tahun kerana merogol pembantu rumah

Bendahari Parti Zuraida dipenjara 13 tahun kerana merogol pembantu rumah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Menurut Berita Harian, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Choo Kiong, 51, yang juga Bendahari Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini, mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu memasukkan penyataan pembelaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, pada 6 Disember lalu.

Tertuduh pada 23 Ogos 2019, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol wanita warga Indonesia berusia 25 tahun di rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 28 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lalu.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 November lalu.

Sebelum ini, kes itu disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

COMMENTS