Berita baik! Lagi dua peratus boleh rentas negeri, kata KJ

Berita baik! Lagi dua peratus boleh rentas negeri, kata KJ

 

HANYA tinggal dua peratus lagi sehingga kadar vaksinasi populasi dewasa di Malaysia mencapai 90 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di laman Twitter, berkata setakat hari ini 88 peratus populasi dewasa di negera ini telah lengkap vaksinasi.

“Hanya dua peratus lagi sehingga sempadan antara negeri dibuka dan warganegara Malaysia tidak perlu lagi memohon untuk MyTravelPass untuk ke luar negara,” katanya dalam ciapan itu, lapor Malaysiapost.

Dalam ciapan itu juga, Khairy membuat tanda pagar #ReopeningSafely yang membawa maksud perjalanan rentas sempadan negeri dan negara bakal dibuka kembali tidak lama lagi.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), jika 90 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa dicapai, rentas negeri akan dibenarkan.

Setakat 4 Oktober, 20.6 juta individu atau 88 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Berdasarkan data di portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 94.4 peratus atau 22.09 juta daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 20.71 juta individu atau 63.4 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Sejumlah 23.96 juta daripada populasi keseluruhan, atau 73.3 peratus, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 114,124 atau 3.6 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 115,863 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah lebih 44.57 juta dos.