Berkat ‘berhijrah’, Aliff Aziz dinobat juara Gegar Vaganza 8

Berkat ‘berhijrah’, Aliff Aziz dinobat juara Gegar Vaganza 8

Pertarungan pentas akhir Gegar Vaganza 2021 musim ke-8 (GV8) menyaksikan Aliff Aziz muncul juara program realiti itu yang diadakan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.

Dengan kemenangan ini Aliff Aziz atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Persembahan Aliff menambat hati para juri apabila cemerlang menyanyikan lagu Sampai Syurga serta Dealova berduet bersama Hafiz Shuib. Dia kemudian terus mendapat pujian apabila menyerlah dalam saingan battle bersama Aweera menerusi lagu Budak Flat.

Nikki Palikat Naib Juara manakala Suki ke-3

Naib juara pula milik Nikki Palikat yang menerima wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Suki Low berada di tempat ketiga sekaligus membawa RM30,000 bersama trofi.

Tempat keempat pula dimenangi oleh Adibah Noor yang pulang dengan hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Bagi tempat kelima dan keenam pula milik Azan Scan dan Aweera. Mereka berdua juga tidak pulang kosong apabila masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM 10,000 termasuk trofi.

Kedudukan penuh Gegar Vaganza 2021/ GV8 :

Juara : Aliff Aziz
Naib Juara : Nikki Palikat
Ke-3 : Suki Low
Ke-4 : Adibah Noor
Ke-5 : Azan Scan
Ke-6 : Aweera

Persembahan konsert akhir GV8 diadili tiga juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz bersama juri jemputan, Joe Flizzow.

Sebagai rekod, program GV telah menobatkan barisan artis bergelar juaranya sebelum ini iaitu Ayai Ilusi (GV1 ), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV7).