Betul-betul tak malu! 5 kali didenda, Najib tetap berdegil langgar SOP

Betul-betul tak malu! 5 kali didenda, Najib tetap berdegil langgar SOP

Walaupun telah dikenakan lima denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, bekas perdana menteri Najib Razak sekali lagi muncul di acara yang penuh sesak malam tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu hadir di Medan Selera 988 di pinggir bandar Iskandar Puteri malam tadi untuk berkempen bagi calon MCA Skudai Lim Soon Hai.

Kira-kira 200 orang, ramai yang berpakaian biru BN dan memegang sepanduk menyokong Lim, telah menunggu Najib di medan selera dan berkerumun di sekelilingnya sebaik dia keluar dari kenderaannya pada 9.40 malam.

Pengerusi lembaga penasihat BN itu disambut dengan rombongan tarian singa dan kemudiannya diiringi oleh penyokong yang melaungkan “Bossku! Bossku!” ke mejanya.

Penyokong mengerumuni meja dan ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.

Najib turut menyampaikan ucapan, dan menggambarkan DAP sebagai parti yang membelakangkan masyarakat Cina.

Lim dari BN berdepan Marina Ibrahim dari DAP dan Khoo Kong Ek dari Perikatan Nasional (PN).

Najib, dalam ucapannya, membidas DAP kerana memotong pembiayaan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan juga menggembar-gemburkan keputusannya membenarkan pembesaran Sekolah Tinggi Foon Yew semasa menjadi perdana menteri dan menteri pendidikan.

“DAP tak guna, (sekarang) mereka letak calon Melayu.

“Itu tipu saja. Mereka melakukan silap mata. Siapa yang kita mahu? Lim Soon Hai,” katanya ketika penonton yang kebanyakannya penyokong Cina bersorak.

Najib berkata pengundi harus menyokong BN kerana ia adil kepada semua kaum dan dia menggesa mereka untuk memberi pengajaran kepada DAP.

Pada pilihan raya umum 2018, DAP memenangi kerusi itu dengan majoriti 35,126 undi.

Najib, yang telah disabitkan dengan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, telah aktif berkempen semasa pilihan raya Johor, termasuk membuat beberapa penampilan untuk pelbagai calon MCA.

Banyak penampilannya diiringi oleh kerumunan orang ramai.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan Najib telah didenda lima kali kerana melanggar SOP semasa tempoh kempen pilihan raya Johor.