Biro Politik Umno ‘tekan’ Ismail Sabri kenapa hukum Najib tergesa-gesa

Biro Politik Umno ‘tekan’ Ismail Sabri kenapa hukum Najib tergesa-gesa

Pemimpin utama Umno mengelak daripada menemui media, selepas lebih tiga jam mesyuarat Biro Politik di Menara Dato’ Onn malam tadi.

Malah, kebanyakan pimpinan tertinggi tidak keluar melalui pekarangan lobi Ibu Pejabat Umno itu, di mana kebanyakan media menunggu sejak 7.30 malam tadi.

Menurut FMT, mereka sebaliknya keluar melalui pintu alternatif yang dikawal rapi polis pengiring sekitar 11.45 malam.

Difahamkan, Umno sebelum itu mengadakan mesyuarat berkaitan keputusan rayuan terakhir Najib Razak dalam kes SRC International.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden, Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled Nordin.

Turut hadir Ketua Umno Selangor, Noh Omar, Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad dan Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said.

Ketika ditanya mengenai agenda mesyuarat, Ahmad yang keluar melalui pekarangan lobi bangunan tidak mendedahkan apa-apa.

Ditanya jika pilihan raya umum ke-15 dibincangkan, beliau berkata: “ya ya ya” tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Apabila didesak sama ada mesyuarat itu membincangkan sabitan dan hukuman Najib dikekalkan Mahkamah Persekutuan, katanya tidak dan melambai ke arah wartawan.

Dalam pada itu, media memetik sumber berkata, Ismail ditanya mengapa kes Najib diputuskan secara tergesa-gesa.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan ketika ditemui berkata, tiada ketegangan berlaku dan mesyuarat itu berlangsung dalam keadaan aman.

“Tak ada (ketegangan), semua berjalan dengan lancar, aman, harmoni dan tenang.”

Katanya, semua pihak menyuarakan pendapat dan simpati terhadap Najib.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes SRC International.

Najib yang didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan beliau turut didenda RM210 juta.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, keputusan mahkamah terhadap Najib perlu dilihat sebagai “peledak semangat” untuk terus membawa perjuangan bekas perdana menteri itu.

Zahid turut memanggil semua pemimpin Umno menghadiri taklimat khas pada Sabtu ini.