BN akan tandatangan ‘baiah’, elak ADUN lompat parti

BN akan tandatangan ‘baiah’, elak ADUN lompat parti

 

CALON Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani surat akuan bersumpah (SD), kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka berkata, kesemua calon terbabit juga perlu menandatangani beberapa dokumen lain bagi mengelakkan mereka ‘lompat parti’ sekiranya menang pada 20 November ini.

“Ini kerana kestabilan politik negara terutama di Melaka itu penting, sementara dalam Parlimen atau DUN belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti).

“Maka kita terpaksa membuatkan aku janji dan ada dua tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal-bakal calon sebelum mereka diberi tauliah esok,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Negeri Sembilan Sebagai Negeri Angkat kepada Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Umno itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua calon Umno yang akan bertanding semalam.

“Kita bagi taklimat supaya mereka kenal pasti penyokong dan pencadang sebagai wakil calon jadi mereka ini bolehlah bersiap sedia.

“Ini kerana kita tak buat pengumuman calon di Melaka sebaliknya secara siaran media di PWTC,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa 90 peratus calon Umno yang akan bertanding pada PRN Melaka adalah dalam kalangan muka baharu, dan perkara itu diterima baik oleh penyandang kerusi.

“Ya (90 peratus muka baharu) begitulah kalau sudah dikata. Insya-Allah mereka (muka baharu) ini pun bukan sembarangan orang, mereka juga pemimpin di peringkat bahagian tapi mereka ini dulu lama berkhidmat di bawah,

“Jadi (penyandang) yang sudah berkhidmat selama tiga penggal ini pun mereka beri laluan setelah lama berada di DUN masing-masing,” katanya.