BN cuba kaburi mata pengundi, calonkan Sulaiman untuk naikkan Rauf

BN cuba kaburi mata pengundi, calonkan Sulaiman untuk naikkan Rauf

 

BARISAN Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti itu diberi mandat untuk membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassanm berkata Sulaiman adalah pemimpin yang disenangi rakyat Melaka dan bebas daripada sebarang isu sekali gus diterima ramai.

“Saya harap pentadbiran beliau diterima ramai, beliau tiada isu. InsyaAllah, jika diizinkan kita jadikan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas melancarkan Manifesto BN untuk PRN Melaka, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai beberapa nama yang turut disebut sebagai calon Ketua Menteri daripada BN, Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan berpotensi untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri atau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata, apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri yang bakal dibentuk lebih stabil dan bebas daripada sebarang ancaman pemimpin yang berpaling tadah.

“Kita mesti ada satu parti teras tubuhkan kerajaan. Kalau nak kestabilan politik mesti kita sendiri tubuhkan kerajaan.

“Kita tidak mahu bila ada orang mengugut dan mengancam untuk tarik sokongan, akhirnya rakyat yang susah,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Sebelum ini, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak turut menegaskan Sulaiman adalah calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika BN menang PRN kali ini.

Najib menegaskan tidak timbul pencalonan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di kerusi DUN Tanjung Bidara, memungkinkan nama lain bakal dikemukakan bagi jawatan itu.

Mengulas perkara sama, Ab Rauf menegaskan penyertaannya pada PRN Melaka kali ini sebagai membawa mesej perjuangan parti, bukan untuk menentang mana-mana individu.