BN mahu PRN Johor sebab nak bersihkan saingan politik
Meskipun fokus ketika ini membendung penularan COVID-19 dan pemulihan pasca bencana, namun dari perspektif politik, desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus berkocak.
Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala PAN (enam) dan PKR (tujuh).
Walaupun tiada isu majoriti, ancaman tetap ada dari perspektif pakatan rapuh, sekali gus mirip di Melaka apabila wujud potensi lompat parti dan kebarangkalian menukar sokongan.
Menyuarakan pandangan itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis dan Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, apa yang berlaku di Melaka memperlihatkan BN-UMNO yakin meninggalkan pakatan semasa dan secara perlahan menghimpit Bersatu.
Dengan saingan tiga penjuru UMNO, PN dan PH merebut undi Melayu seperti di Melaka, ia juga sangat kritikal di Johor, katanya.
“Walaupun UMNO dilihat kuat di Johor dan menjadi pilihan utama pengundi Melayu, dinamik tiga hala itu masih boleh menjejaskan kekuatannya di kerusi majoriti Melayu seperti diperlihatkan PN di Melaka.
“Komponen Melayu PH walaupun kalah teruk di Melaka, masih berpotensi ‘mengganggu’ BN dan PN di Johor. Soalnya, mengapa PRN Johor mahu disegerakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
“PRN mungkin dilihat sebagai gerakan awal BN ‘membersihkan’ saingan politik dan memperbaharui mandat dengan cara bukan PRU selepas melihat keputusan PRN Melaka mengejutkan,” katanya menulis di Berita Harian.
Mereka turut mengemukakan beberapa pendapat yang memungkinkan hal itu antaranya pengukuhan dan kestabilan kerajaan.
Katanya, hal ini mudah kerana BN-UMNO tidak mahu berkongsi kuasa dengan PN.
“Kedua, dinamik politik UMNO. Umum mengetahui UMNO menolak Bersatu dalam kamus politik mereka tetapi tidak bersifat total kerana keperluan Bersatu mengekalkan sokongan kepada kerajaan sedia ada. Walaupun PRN Melaka menyaksikan BN-UMNO menang, kredit kemenangan tidak dikaitkan Perdana Menteri berbanding presiden parti.
“Paradoks ‘Perdana Menteri lawan Presiden parti’ jelas masih membelenggu dinamik politik kepemimpinan UMNO. Ada kebarangkalian keputusan PRN Johor akan mengubah hala tuju dinamik itu. Apatah lagi sekiranya BN menang, tekanan terhadap Perdana Menteri baik dari segi politik dan pentadbiran turut meningkat.
“Pada peringkat awal, sudah tentu tekanan PRU15 lebih awal menjadi perhatian. Sesudah itu, isu calon dan pilihan raya menarik untuk diperhatikan,” katanya.
Selain itu, mereka berpendapat kelemahan PH sebagai pakatan seperti kenyataan balas pemimpin PH barangkali mendorong BN mempercepatkan PRN Johor.
“Mungkin Johor dan Melaka berbeza demografinya. Keseimbangan pengundi dan geografi bercampur antara bandar dengan luar bandar kena dengan cara politik PH.
“Namun, defisit kepercayaan pengundi terhadap PH masih tetap sama dan belum ada tanda sudah dibetulkan,” katanya.