Bodoh! Bapa buat aksi willie akhirnya ditahan polis

Bodoh! Bapa buat aksi willie akhirnya ditahan polis

POLIS menahan seorang lelaki yang tular membuat aksi ‘willie’ ketika menunggang motosikal dengan membonceng seorang kanak-kanak perempuan di Taman Impian Emas, Skudai, Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata pihaknya menerima sebuah video tular berdurasi 36 saat membabitkan perlakuan lelaki itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan berbahaya.

“Suspek bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di hadapan motosikal, membuat aksi ‘willie’ dengan mengangkat tayar motosikal hadapan.

“Dia melakukan aksi tersebut untuk meraih perhatian warganet. Aksi tersebut dirakam sendiri oleh suspek menggunakan telefon bimbitnya dengan bantuan rakan sebelum dimuatnaik ke laman Facebooknya, Selasa lalu” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan tiga saman terhadap suspek kerana membawa motosikal tiada nombor pendaftaran, kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi kaledar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (l) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Polis menasijati orang ramai tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendir dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang bapa dikesan membahayakan nyawa anak perempuannya yang masih kecil apabila dirakam melakukan aksi ‘willie’ ketika menunggang motosikal.

Video aksi berbahaya itu tular di media sosial sejak semalam dan mendapat kecaman warganet yang berpendapat perbuatan itu bukan sahaja berbahaya dan menyalahi undang-undang tetapi memperjudikan nyawa anaknya.