Bon Odori: Ulamak Pas pertahan menteri agama, tidak hirau titah Sultan Selangor

Bon Odori: Ulamak Pas pertahan menteri agama, tidak hirau titah Sultan Selangor

Dewan Ulamak Pas Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat dalam festival berkenaan.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, meskipun terdapat pandangan menjelaskan festival tersebut berkait dengan kebudayaan Jepun namun ia tidak sesekali mengenepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

Menurut beliau, prinsip itu selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

“Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah.

“Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama.

“Dewan Ulamak Pas Pusat mencadangkan agar langkah Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang telah diadakan pada Mei lalu, setelah dikenalpasti mempunyai unsur-unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah dicontohi oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan sini hari ini.

Kelmarin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat program kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan.

Jelas beliau, nasihat yang disampaikan oleh Idris tersebut jelas berpandukan maslahah orang ramai.

“Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain.

“Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini,” katanya.

Idris sebelum ini menasihati umat Islam agar tidak menghadiri Festival Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang akan diadakan di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pesta itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

“Kajian yang dibuat oleh pihak JAKIM mendapati ianya ada unsur-unsur keagamaan, kita nasihatkan kepada orang Islam jangan sertai. Banyak lagi majlis yang boleh disertai,” katanya, seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Festival dari negara Jepun itu yang akan diadakan pada 16 Julai depan di Shah Alam.