Bongkar! Sudah diberi amaran, tapi Najib tak mahu dengar – Saksi

Bongkar! Sudah diberi amaran, tapi Najib tak mahu dengar – Saksi

Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberi keterangan hari ini bahawa dia cuba memberi amaran kepada bekas perdana menteri Najib Razak mengenai penubuhan 1MDB tanpa kajian kebolehlaksanaan.

Saksi pendakwaan ke-20 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia cuba menasihati Najib daripada melibatkan 1MDB dalam pelaburan dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, tidak mengendahkan nasihatnya berhubung 1MDB.

“Saya menyatakan bahawa ‘1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu dan ia hanya perlu diberikan kepada (syarikat minyak nasional Malaysia) Petronas’.

“Tetapi PM menjawab saya dengan ‘Husni, saya tidak mahu anda terlibat dan campur tangan mengenai 1MDB’.

“Selepas PM menjawab begitu kepada saya, saya tidak membalas lagi. Saya mengesahkan bahawa pertemuan antara saya dan PM adalah di pejabat PM dan sejak itu, saya langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan berkaitan 1MDB,” dakwa Husni mengenai pertemuan 2009 itu.

Memetik laporan Malaysiakini,  saksi itu memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib petang tadi.

Sebelum ini semasa perbicaraan berasingan kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib pada 19 Ogos 2019, Husni selaku saksi pendakwaan turut memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya untuk tidak terlibat dalam 1MDB. (SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB).