Budak 10 tahun maut, cuba tahan kereta mengundur selepas turunkan brek tangan

Budak 10 tahun maut, cuba tahan kereta mengundur selepas turunkan brek tangan

Malang tak berbau! Itulah yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan apabila dia bersama adiknya sedang bermain di dalam kereta di rumah mereka di Kampung Keledang, Kuala Ketil, semalam.

Menurut laporan oleh Harian Metro, tragedi itu berlaku apabila kanak-kanak berusia 10 tahun itu cuba untuk menghentikan kenderaan terbabit yang mengundur selepas dia melepaskan brek tangan.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Aisyah Amani Amirrudin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Tawar dilaporkan telah terperosok bawah Proton Wira merah milik keluarga dalam keadaan tubuhnya membongkok ke tanah.

Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di hadapan dua kakak, adik lelaki dan juga bapa saudaranya yang ketika itu bertungkus lumus cuba membantu mengeluarkan mangsa dalam usaha menyelamatkannya.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Punca kematian dilaporkan akibat pendarahan di kepala selain tulang tengkorak patah kerana digilis kereta berkenaan.

Menurut sumber siasatan, ketika kejadian, bapa dan nenek mangsa tiada di rumah.

Ketika itu, hanya ada dua kakak berusia 15 serta 12 tahun, adik lelaki berusia tujuh tahun dan bapa saudaranya yang berusia 29 tahun serta masih bujang dalam rumah terbabit.

“Mangsa ketika itu sedang bermain bersama adik lelakinya di luar rumah manakala kakak sulung sedang mengulang kaji pelajaran dan kakak kedua pula sedang tidur di ruang tamu.

“Bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans sebuah syarikat swasta pula sedang bersiap dan baru selesai mandi untuk ke tempat kerja,” katanya.

Tambahnya lagi, kejadian mangsa terperosok bawah kereta itu hanya disedari dua kakaknya selepas mendengar jeritan adik lelaki dan mereka terus meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Adik bongsu menunjukkan mangsa di bahagian belakang kereta dan melihatkan kejadian itu semua tiga beradik berkenaan menjerit meminta tolong bapa saudara yang berada dalam rumah.

“Bapa saudara yang meluru keluar melihat tiga beradik berkenaan berusaha mengeluarkan mangsa di bahagian belakang bawah kereta sebelum lelaki terbabit menggunakan kudratnya menolak kereta ke hadapan dan berjaya menarik mangsa keluar,” katanya.

Menurutnya, tanpa berlengah bapa saudaranya terus membawa kanak-kanak itu ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani menggunakan ambulans milik syarikat namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Hasil siasatan awal, adik bongsu mereka mendakwa kakaknya itu masuk dalam kereta dan bermain di tempat pemandu sebelum dia menurunkan brek tangan membuatkan kereta berkenaan mengundur.

“Kanak-kanak itu juga mendakwa kakaknya yang panik terus berlari keluar ke belakang kerana mahu menahan kereta daripada terus bergerak sebelum dilanggar dan terperosok bawah kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat parkir kereta itu agak bercerun dan berbukit.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di belakang leher dan kepala.

Mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik tinggal di rumah terbabit bersama bapa, bapa saudara dan nenek.

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.