Calon PH beri bunga pada calon BN sempena Hari Wanita

Calon PH beri bunga pada calon BN sempena Hari Wanita

Apa ada pada panggilan ‘orang luar’ atau ‘luor’ jika mengikut loghat orang Johor jika mampu berkhidmat untuk rakyat?

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Muhammad Taqiuddin Cheman ternyata tidak ambil kisah dengan kempen ‘jangan pilih calon luor’ seperti yang dijaja calon BN, Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain.

Memanggilnya sebagai ‘umi’, Taqiuddin yang lahir di Pontian berkata, beliau tetap hormat dan sayang kepada nenek yang mempunyai 13 cucu itu seperti seorang ibu.

“Walau umi dan jentera umi kempen kata saya bukan orang sini, jangan undi orang luor, saya diamkan saja walau tahu umi dulu pun bertanding di Penawar sebagai orang luar,” katanya.

Untuk rekod, Sharifah yang kini berusia 62 tahun dan merupakan anak jati Kluang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar di Kota Tinggi.

Tak kisah dilabel 'orang luor', Taqiuddin akan buat kerja di Mahkota

Mengulas lanjut, Taqiuddin, 34, yang juga Ketua Pemuda AMANAH Negeri Johor berkata, beliau tidak mahu ‘melawan’ Sharifah berhubung isu orang luar atau orang tempatan.

“Ayah saya guru, dia merantau dan berpindah-pindah untuk bertugas.

“Kalau saya boleh beritahu mak saya sebelum lahirkan saya untuk bersalin di Kluang, memang saya akan buat. Tapi tak boleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional itu menegaskan bahawa beliau akan berkhidmat di Mahkota memandangkan walau di mana berada sekalipun kerja akan dilaksanakan.

“Saya cuma nak beritahu yang saya ikhlas mahu berkhidmat di Mahkota sebab, saya di mana pun, saya akan buat kerja.

“Umur saya umur yang memang secara fitrahnya perlu rajin bekerja. Macam umi muda-muda dulu.

“Apapun, rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Wanita buat umi.

“Semoga umi sihat, dan berada dalam rahmat Allah sentiasa,” tambah Taqiuddin lagi.