China mahu haramkan influencer tunjukkan kekayaan di media sosial

China mahu haramkan influencer tunjukkan kekayaan di media sosial

 

Sejak beberapa tahun lalu, China mula menyekat pengaruh selebriti dan influencer di media sosial serta harus dipantau agar tidak terpengaruh dengan pengaruh luar negara.

Kini, kerajaan China telah mengharamkan para selebriti dan influencer untuk mempamerkan kekayaan mereka atau sebarang bentuk ‘keseronokan yang melampau’ di media sosial.

Difahamkan, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan China untuk merombak industri hiburan negara itu dan ‘menyederhanakan’ kandungan yang boleh menyebabkan gangguan sosial.

PRESIDEN CHINA, XI JINPING. SUMBER GAMBAR: CGTN

Menurut laporan, badan Pentadbiran Ruang Siber China turut melarang agar golongan ini tidak menyebarkan khabar angin, menerbitkan maklumat palsu atau peribadi dan memulakan provokasi yang boleh memulakan serangan lisan antara satu sama lain serta menggalakkan peminat untuk mengambil bahagian dalam pengumpulan dana haram.

Bagi menguatkuasakan peraturan baru ini, rangkaian sosial China akan memantau dan melaporkan sebarang aktiviti haram dan jenayah melibatkan selebriti kepada pihak berkuasa.