Cikgu guna ‘Sport Car’ bakar semangat pelajar kasi dapat result gempak
Baru-baru ini telah tular sebuah video di TikTok mengenai seorang guru yang juga merupakan seorang pengumpul kereta berkongsi cara uniknya melayan kerenah anak-anak muridnya.
Cikgu Mohd Rafaik Ishak bertindak untuk hadir ke sekolah dengan membawa koleksi kereta sports carnya demi mendorong semangat pelajar-pelajarnya agar mereka lebih berusaha keras dalam pelajaran.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik, dapat dilihat sebuah kereta Toyota MR2 yang berwarna merah menjadi tatapan anak-anak murid Cikgu Rafaik di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati.
Mengulas lanjut berkenaan koleksi kereta yang sememangnya menjadi dambaan ramai anak muda sekarang, Rafaik berkongsi bagaimana dia mampu memiliki kenderaan tersebut.
Menurut Rafaik, dia mempunyai syarikat persendirian yang menjual insurans kenderaan serta nombor plat kereta dan dari situ dia berjumpa dengan orang yang mahu menjual kereta-kereta demikian secara second hand kepadanya.
“Saya sangat meminati kereta Japanese Domestic Market (JDM). Alhamdulillah tahun 2017 iaitu tahun pertama saya jadi guru, rezeki saya dapat beli kereta JDM yang saya impikan,” katanya.
Disebabkan keretanya menjadi idaman ramai, Rafaik menggunakan peluang itu untuk membakar minat pelajarnya supaya seronok belajar di sekolah.
“Saya akan bawa kereta klasik tu ke sekolah sebagai hiburan. Kalau mereka lemau nak belajar, saya ajak pergi tengok kereta terus mereka bersemangat,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Rafaik juga menawarkan satu peluang keemasan kepada pelajarnya yang mencapai keputusan cemerlang dalam ujian pertengahan tahun yang bakal menjelang.
“Untuk subjek Sains, kalau mereka dapat Tahap Penguasaan 6 (TP6) iaitu markah 80 hingga 100, mereka berpeluang untuk naik kereta saya pusing-pusing Kuala Lumpur dengan kebenaran ibu bapa mereka, saya akan merealisasikan impian itu,” kata Rafaik.
Terbaik cikgu! Lain macam cara dia bakar semangat students…