Data peribadi 5 juta penumpang Air Asia dalam bahaya?

Data peribadi 5 juta penumpang Air Asia dalam bahaya?

Satu ciapan di Twitter yang dibuat oleh @TheFuturizts mendakwa, sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin telah berjaya memperolehi 5 juta data peribadi penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Menurut ciapan itu juga, kumpulan terbabit didapati telah berkongsi dua fail yang mengandungi pelbagai butiran peribadi pekerja dan penumpang AirAsia serta mengugut akan memuat naik semua data sulit AirAsia itu di internet.

“Penggodam berlaku awal bulan ini. Fail pertama mengandungi maklumat penumpang, manakala yang kedua berkongsi butiran pekerja, seperti tarikh lahir, negara, alamat, tarikh pekerjaan, dan juga ‘soalan rahsia’ mereka dengan jawapan.

“Menurut jurucakap Daixin, Airasia menghubungi kumpulan itu untuk berbincang supaya mereka memadam semula data yang dikongsi tetapi gagal mencapai persetujuan mengenai bayaran,” jelasnya lagi.

Memetik laporan yang ditulis oleh wartawan Sinar Harian, Raiham Mohd Sanusi, perkara ini amat mengejutkan kerana kumpulan penggodam itu sebelum ini hanya gemar menyerang rangkaian bisnes di Amerika Syarikat sahaja.

Daixin juga mendedahkan mereka tidak meneruskan serangan ke dalam sistem rangkaian AirAsia disebabkan ianya tidak tersusun serta tidak mempunyai piawaian yang selaras.

Pihak AirAsia setakat ini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung isu kebocoran data peribadi ini.