Data peribadi: Pemuda ini cadang rakyat uninstall MySejahtera

Data peribadi: Pemuda ini cadang rakyat uninstall MySejahtera

Isu aplikasi MySejahtera yang menimbulkan keraguan terhadap keselamatan data peribadi rakyat Malaysia harus diselesaikan segera.

Namun jawapan daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak begitu meyakinkan dan masih menimbulkan banyak persoalan bagaimana pengurusan data dan maklumat peribadi rakyat Malaysia diberi kebenaran diuruskan oleh pihak ketiga tanpa kontrak, terma dan syarat yang jelas.

Pendedahan dokumen mahkamah yang mendedahkan Entomo (Kpisoft) bersetuju untuk memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd menerusi perjanjian berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025 juga menimbulkan satu persoalan besar.

Bagaimana Khairy yang mempertahankan tindakan memberi kebenaran kepada Kpisoft yang kemudiannya menggunakan nama Entomo untuk mengutip dan menyimpan data peribadi rakyat Malaysia yang kononnya dibuat secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat, kemudiannya menuntut bayaran RM 338.6 juta kepada MySJ.
Ini jelas menunjukkan kelemahan pihak kerajaan dalam meneliti setiap keputusan yang dibuat yang akhirnya memakan diri dan merisikokan rakyat Malaysia.

Apa yang lebih penting, sejauh mana jaminan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dipelihara dan apakah benar tidak akan berlaku pencabulan data tersebut sedangkan Khairy mengakui tiada kontrak antara kerajaan dengan Entomo ketika dia mula menjadi menteri kesihatan atas alasan syarikat itu menawarkan untuk membangunkan dan menyelia perkhidmatan aplikasi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Berikutan jawapan yang masih longgar dan tidak meyakinkan, rakyat Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan tindakan menyahpasang (uninstall) aplikasi MySejahtera sebagai langkah melindungi data peribadi mereka daripada risiko yang tidak diingini.

RAZAK RIDZUAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional