Dengan penuh yakin menteri ini kata harga barang dah stabil, peniaga makanan didesak turunkan harga
Peniaga khususnya penjual makanan digesa supaya menurunkan harga jualan dan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga berikutan kenaikan harga yang bersifat sementara.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa berkata ketika tempoh berlaku kenaikan harga barangan seperti ayam sebelum ini, penjual terpaksa menaikkan harga jualan mereka namun kini hasil intervensi kerajaan harga barang kembali rendah dan stabil.
Justeru itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata menjadi tanggungjawab peniaga untuk bersama-sama berusaha dan sedia untuk menurunkan harga jualan mereka.
“Laporan yang dibentangkan hari ini, membuktikan harga ayam dalam pasaran seluruh negara telah berada di tahap lebih rendah daripada harga siling dan lebih rendah berbanding ketika harga naik melonjak.
“Data menunjukkan harga makanan berkaitan ayam telah dinaikkan dengan agak tinggi. Apakah tidak mungkin bagi peniaga yang berkaitan untuk turunkan semula harga setimpal dengan harga ayam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu di bangunan parlimen, semalam.
Menurutnya terdapat juga produk lain yang tidak terkesan dengan kenaikan harga tertentu dan tidak tersenarai sebagai barangan kawalan tetapi harga dinaikkan penjual.
Ditanya sama ada terdapat tindakan dikenakan pada peniaga yang masih menjual makanan dengan harga tinggi, beliau berkata tidak semua perkara boleh menggunakan penguatkuasaan undang-undang terutama bagi barangan yang tidak disenarai sebagai barangan kawalan.
Katanya kerajaan telah berbelanja besar untuk menurunkan harga justeru atas dasar tanggungjawab dan untuk membantu rakyat, peniaga diminta menurunkan semula harga jualan.
“Kita minta pemain industri cubalah turunkan harga (jualan) mereka dan kita buat (permintaan turun harga) secara rundingan serta seruan terbuka seperti ini…ada perkara perlukan punca kuasa undang-undang, ada perkara perlukan kebertanggungjawaban pengguna dan penjual.
“Kita (kerajaan) harapkan tiada amalan mengambil kesempatan, pencatutan harga dan mengambil untung secara melampau dengan satu-satu situasi yang berlaku,” katanya, memetik Bernama.
Annuar berkata walaupun data terperinci daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kedudukan inflasi negara secara relatif rendah iaitu 3.4 peratus dan terendah dalam kalangan negara ASEAN, namun tidak dinafikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terutama makanan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Justeru, katanya kerajaan berpendirian untuk terus berusaha memastikan harga barangan utama tidak terus naik dan dikawal.