Derita si janda muda, kahwin dengan boss tua tapi akhirnya diceraikan ketika hamil

Derita si janda muda, kahwin dengan boss tua tapi akhirnya diceraikan ketika hamil

“SAYA datang dari kampung dan mula kerja sebagai pelayan di restoran francais. Tapi bos minat dekat saya. Bos dah tua. Ada isteri dan empat orang anak. Saya elak-elak, tapi bila bos belanja beg Gucci…hmmm saya jadi bodoh tiba-tiba.”

Itulah memori indah dan duka seorang janda muda. Asal datang ke Kuala Lumpur dengan hasrat memulakan hidup baru. Berazam mencari rezeki untuk membantu keluarga dan berusaha memajukan diri.

Kisah janda muda mangsa penceraian selalu dilihat sebagai isu sensasi. Stigma dicerai dan status janda – selalunya di mata lelaki, isu ini dianggap berbau sensual dan seksis.

Ini budaya buruk mentaliti lelaki kelas jalanan – tak kisahlah di kaki lima atau apa. Tetapi percayalah, akademis dan korporat lelaki, otak seksnya sama. Asal janda muda saja – set minda dalam topik perbualan mereka akan meleret ke isu saiz buah dada atau besar kecil punggung si janda.

Ini stereotaip fokus bicara. Begitulah janda muda dalam psiko sosial Melayu. Sejak era pop yeh-yeh – janda muda sentiasa menjadi subjek libido pemikiran kelas kambing banyak lelaki jenis buaya darat.

Janda muda selalu dilihat sebagai ‘subjek desparado seks’ yang mungkin ‘boleh dimakan.’

Dunia janda selalu penuh dengan warna-warni, terutama kisah hidup yang perit dan perjuangan untuk hidup selepas diceraikan. Kisah yang dipaparkan dalam siri kali ini ialah kisah janda muda yang diceraikan lelaki tua – satu cerita sedih tetapi menarik untuk direnungi.

Pemandu wanita e-hailing ini berkahwin ketika berusia 23 tahun dengan lelaki usahawan kaya-raya berusia 55 tahun. Sayangnya, tidak sampai setahun, sudah diceraikan.

Janda muda ini berasal dari Felda Palong, Negeri Sembilan. Wajahnya yang cantik dan usianya yang muda ketika dipapar pada skrin tempahan, awal-awal lagi membuatkan saya memilih duduk di belakang. Saya fikir, dia pelajar yang menjalankan kerja sambilan untuk cari duit poket belajar.

Bla bla bla kami berbual, bermula dengan sekitar hal dan soalan basa-basi saja. Sekadar mengisi waktu setelah sedar 45 minit tempoh perjalanan dari Cheras ke PWTC.

Kebetulan, waktu itu jalanraya sesak. Kemudian saya sedar, saya menaiki e-hailing dengan janda muda berusia 26 tahun. Bukan janda itu yang jadi tarikan. Tetapi kisah hidupnya yang sedih dan menyentuh perasaan.

“Saya diceraikan ketika hamil empat bulan. Sebab saya isteri muda. Dalam perjanjian, saya tidak dibenarkan mengandung,” kata janda muda itu lagi.

Penulis terkedu apabila mengetahui, itu syarat isteri pertama. Malah, syarat itu dipergunakan isteri pertama untuk mendesak suaminya bercerai.

“Ooo…, ” kata penulis dengan respons buntu. “Bila kandungan masuk empat bulan, setelah madu saya mendesak dan mengamuk, suami ceraikan saya. Dia langsung tak pertahankan apa-apa. Saya berkeras tak mahu gugurkan anak,” katanya sedih.

Suaminya seorang usahawan berjaya. Dia pemilik restoran francais makanan terkenal.

Melalui tempoh sukar diceraikan ketika hamil dan terpaksa balik kampung untuk persediaan melahirkan anak, membuatkan nada suaranya ketika bercerita kedengaran berat sekali.

Dia nampak sangat kecewa kerana sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran dan setelah anak berusia tiga bulan sekarang, sesen pun bekas suami tidak membantu.

“Saya panik dan tertekan sebab saya dibiarkan bersendirian melalui tempoh sukar. Apabila bayi saya lahir dan dua bulan lepas pantang, saya terpaksa memandu e-hailing,” cerita janda muda itu.

“Ooo… eloklah. Paling tidak awak taklah tertekan memikirkan semua ini,” kata penulis tanpa sempat berfikir jawapan yang munasabah.

“Taklah… saya kena memandu sebab saya perlu beli susu anak. Saya juga perlu wang bayar fi peguam untuk tuntut nafkah anak di mahkamah,” katanya.

“Sabarlah…, ” itu yang termampu penulis jawab tanpa mampu berfikir panjang.

E-hailing memang gaya hidup baru di kota. Tetapi kisah hidup pemandunya banyak yang boleh menitiskan airmata. Kisah janda muda ini salah satu daripadanya.

Janda ini menjelaskan, betapa dia berasa lega kerana penulis memilih untuk duduk di belakang. Sebenarnya, dia trauma untuk menerima pelanggan lelaki duduk di kerusi depan.

“Kenapa,” tanya saya.

“Maaf cakap encik,” katanya sambil menambah, “ramai yang menggoda dan ada yang suka meraba….”

Terkejut dan berasa sangat malu sebagai lelaki pada ketika itu. Usia pemandu e-hailing ini sebaya dengan anak gadis penulis. Perasaan marah dan terkilan juga menebal.

“Awak muda lagi, itu sebab orang lelaki ambil kesempatan. Elok buat prosedur, jangan terima penumpang lelaki duduk di depan.”

Bekas suaminya walaupun seorang jutawan tersohor, tetapi sesen pun tidak memberikan nafkah sejak melafazkan cerai sampailah sekarang. Malah, tidak pernah bertanyakan khabar mengenai nasib anak yang dilahirkan.

Sudahlah tua dan teringin beristeri muda. Hairannya, jutawan ini penakut pula pada isteri tua hingga bertindak menceraikan isteri muda semata-mata kerana hamil.

“Sekarang saya perlu kumpulkan seribu ringgit untuk yuran guaman kalau nak bawa kes ini ke mahkamah, ” katanya.

Hari itu sebenarnya hari yang menyedihkan bagi seorang bapa seperti penulis. Sebagai wartawan, kisah janda muda ini satu berita. Namun, sebagai manusia dan seorang bapa – saya mendengar kisah ini sebagai satu pengajaran.

Betapa ramai jantan menjadi tua hanya berubah menjadi lembu. Besar nafsu dan cetek otak.

“Maaflah encik, ” kata janda muda itu, “saya cerita hal peribadi. Sebab saya tertekan memikirkannya.”

“Eh takpa..,saya ok, ” jawab penulis.

“Anak saya sebaya awak. Saya mendengar sebagai seorang bapa,” ujar penulis kepadanya.

Penulis turun di PWTC. Sudah beberapa minggu berlalu, tetapi kisah ini masih mengganggu emosi saya. Sebagai manusia, sebagai bapa dan lelaki tua – saya fikir, umur dan status tidak semestinya gambaran peribadi kita.

Lembu pun boleh tua dan kaya, kalau hidup setakat suka aniaya manusia.

(Ini adalah kisah kedua di bawah siri Mundar-Mandir Di Kaki Lima iaitu satu naratif mengenai kisah hidup di jalanan hasil catatan dan pemerhatian wartawan dan penulis veteran).