Dikritik teruk bawa Haqiem Stopa beri motivasi sekolah, ini respon penganjur

Dikritik teruk bawa Haqiem Stopa beri motivasi sekolah, ini respon penganjur

Sekitar beberapa bulan lalu, nama Haqiem Stopa tular di media sosial selepas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkatnya sebagai ‘ikon permotoran anak muda’.

Gelaran itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga permotoran negara. Majoriti mempersoalkan gelaran itu kerana tiada yang mengenali Haqiem dan apakah kriteria membolehkannya digelar ikon.

Netizen turut menyifatkan bahawa gelaran tersebut tidak sesuai kerana Haqiem Stopa dikatakan merupakan ‘mat rempit’ memandangkan kerap berkongsi konten berkenaan motosikal di TikTok.

Kemudian, timbul pula isu yang mana pemuda berkenaan dijemput sebuah sekolah menengah untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar.

Perkongsian video yang dimuat naik Haqiem Stopa menerusi akaun TikTok miliknya telah mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Ramai yang mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang dikatakan tidak mengkaji latar belakang individu berkenaan sebelum diundang untuk memberi motivasi.

Ikon Permotoran Anak Muda Motivasi Pelajar

Salah seorang pengguna aktif Facebook yang juga seorang peguam, Nor Zabetha mempertikai tindakan mewakilkan seorang individu yang masih dalam kegiatan yang disenarai dalam kategori gejala sosial.

Katanya, tiada masalah untuk menjemput mereka yang mempunyai sejarah silam dan menyesal serta berubah sebagai perkongsian pengajaran. Namun, ia berbeza apabila menjemput mereka yang ‘sedang’ dalam kegiatan yang dipandang serong masyarakat.

@haqiemstopa

Trima Kasih SMK Sungai Besi 🤙🏻 #haqiemstopa #fyp #fypシ #matrempit

♬ original sound – Haqiem_stopa – Haqiem_stopa

Penganjur tampil perjelas isu

Sedar dengan isu yang sedang menular di media sosial ketika ini, penganjur tampil memberikan penjelasan sebenar.

Untuk makluman, ia dianjurkan oleh Belia Mahir bagi melaksanakan program Cerita Orang Gagal (COG) yang bertujuan memberi peluang kepada anak muda untuk bangkit dari kegagalan dan maju di masa depan.

Penganjur program tersebut, Rizan Hassan menyatakan bahawa COG membawa mesej ‘jangan jadi macam saya’.

Untuk mesej yang hendak diketengahkan pada tahun ini, COG membicarakan isu mengenai ‘BULI ITU JENAYAH’.

Penganjur telah tampilkan seorang bekas pembuli, Emam Sapekri yang juga mempunyai masa silam dan kemudian menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney dan berjaya mendapat 8A untuk peperiksaan SPM.

Turut di bawa sama ialah seorang individu influencer TikTok yang mana pengisiannya berkisar tentang permotoran.

‘Haqiem Stopa’ menjadi contoh seorang yang telah dan sedang dibuli di alam maya dengan kecaman, penghinaan, kutukan dan ancaman, salah satu kaedah buli yang popular di kalangan masyarakat kita.

Ikon Permotoran Anak Muda Motivasi Pelajar

“COG telah banyak menjelajah ke seluruh negara (sekolah, komuniti, kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta) dengan menampilkan bekas pesalah juvana, bekas banduan, bekas kepulihan dadah dan sesiapa sahaja yang melalui kegagalan yang teruk di dalam kehidupannya untuk berkongsi pengalaman hidup.”

Kata penganjur, tiada sebarang ‘bayaran dan sumbangan’ dikenakan sama ada kepada penceramah, penganjur mahupun sekolah terlibat. Kos perjalanan dan penginapan juga adalah tanggungan sendiri.