Dilantik sebagai menteri kewangan? Ini penjelasan Mat Maslan

Dilantik sebagai menteri kewangan? Ini penjelasan Mat Maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan dakwaan pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan hanya sebagai khabar angin.

Beliau berkata, kuasa melantik Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebagaimana ditularkan itu, saya anggap sebagai khabar angin sahaja, soal berkaitan Kabinet terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial yang mendakwa Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu akan dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet yang turut menjadi spekulasi sejak kebelakangan ini.

Ahmad pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan II pada 2013 hingga 2016 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, tiga perkara utama akan diberikan tumpuan pada Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno pada 12 Januari ini termasuk isu banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Jelas Ahmad, turut diberikan tumpuan adalah tarikh baharu Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 serta isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang kembali hangat diperkatakan.

“Selain membincangkan perjalanan pengurusan parti serta MN, Umno juga memberi tumpuan kepada masalah banjir yang akan dibangkitkan pada Persidangan Khas Parlimen pada 20 Januari ini.

“Ahli-Ahli Parlimen Umno diminta menyampaikan pandangan masing-masing berkaitan banjir yang berlaku di tempat mereka supaya tindakan susulan dapat diambil.

“Berkenaan MN yang dibincangkan pada MT kelak, saya tidak dapat memberi sebarang komen kerana ia melibatkan dasar-dasar utama kerjasama yang dimeterai antara Umno dan Pas,” katanya.

PAU 2021 yang sepatutnya diadakan pada 13 hingga 15 Januari ini terpaksa ditunda berikutan kejadian banjir yang melibatkan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.