Dilema! Kereta baharu tapi tunggu lama!

Dilema! Kereta baharu tapi tunggu lama!

Masalah kekurangan bekalan cip mikro yang melanda industri automotif global sejak tahun lalu masih berterusan sehingga kini menyebabkan pembeli kenderaan baharu terpaksa berhadapan tempoh menunggu lama sebelum menerima kenderaan yang ditempah mereka.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya tidak mengetahui bila masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan tempoh menunggu ketika ini dianggarkan sekitar tiga hingga lapan bulan bergantung kepada model dan jenama pengeluar.

“Sudah lebih setahun masalah cip mikro berlaku dan kami tidak tahu bila kekurangan bekalan cip mikro ini akan selesai.

“Ia menjejaskan kereta pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU) apabila komponen tertentu tiada hingga kenderaan itu tidak dapat dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi mengulas rungutan pembeli yang dikatakan terpaksa menunggu lama sebelum mendapat kenderaan ditempah.

Menurutnya, faktor lain yang turut menyumbang kepada kelewatan pembeli menerima kenderaan apabila berlaku peningkatan tempahan pembelian kenderaan baharu susulan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi kenderaan yang akan berakhir esok.

Menurutnya, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran bagi menikmati insentif pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023 pula dapat memberi peluang kepada pembeli memiliki kenderaan pada harga jualan lebih rendah tanpa SST.

“Selepas habis tempoh insentif pengecualian cukai, kemungkinan tempahan akan menurun. Bagi tahun ini, MAA meramalkan unjuran jumlah jualan kenderaan (TIV) adalah sebanyak 600,000 buah.

“Namun, jumlah tempahan yang sudah dibuat, kami tiada angkanya. Apa pun, permintaan untuk membeli kenderaan baharu boleh menjadi petanda ekonomi Malaysia semakin baik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati tiada pembatalan tempahan kereta buat masa sekarang kerana Kementerian Kewangan membenarkan tempahan yang dibuat setakat esok akan mendapat pengecualian cukai SST dan tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Namun katanya, tempahan kenderaan baru dijangka menurun mulai bulan depan susulan keputusan kerajaan.

‘Enam bulan baru dapat kereta’

Ramai pembeli kenderaan meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa menunggu lama mencecah enam bulan untuk mendapatkan model kereta Proton idaman masing-masing.

Malah, isu tempoh menunggu lama bagi mendapatkan kereta yang ditempah bukan hanya membabitkan pengeluar tempatan, tetapi juga jenama kenderaan antarabangsa.

Timbalan Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, secara purata Proton menerima kira-kira 26,000 tempahan setiap bulan dengan model Proton Saga dan Proton X50 mendapati permintaan tertinggi.

Menurutnya, jumlah tempahan yang diterima belum tentu akan menjadi jumlah jualan sesebuah kenderaan.

“Ini kerana ada pelbagai terma dan syarat yang perlu dipenuhi, terutama sekali kelulusan pinjaman bank dan ada juga pelanggan yang akan menukar fikiran.

“Secara am, kadar penukaran tempahan kepada jualan akan berbeza mengikut model, varian dan juga dipengaruhi oleh kadar bunga bank.

“Seperti jenama kereta yang lain, Proton ada tempahan yang belum lagi dipenuhi akibat kekurangan bahagian seperti cip mikro yang menjejaskan jumlah pengeluaran kami.

“Tetapi, dengan pengumuman bahawa tempoh pendaftaran dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023, maka kami yakin akan dapat memenuhi permintaan pelanggan bagi semua model,” katanya.

Menurutnya, oleh kerana ada banyak lagi tempahan yang belum dipenuhi, pegangan stok bagi Proton agak rendah buat masa kini.

Beliau berkata, secara am, tempoh menunggu bagi model Proton adalah kira-kira dua bulan bagi model Proton X70, Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora dan Proton Saga, tetapi tertakluk kepada pilihan warna serta varian.

“Proton X50 pula akan mengambil masa kira-kira enam bulan dan juga tertakluk kepada pilihan warna dan varian.

“Kami yakin akan berjaya memenuhi semua tempahan bagi kenderaan Proton yang ditempah sebelum 1 Jun lalu dan mendaftarkan kenderaan terbabit sebelum akhir Mac 2023,” katanya.

Katanya, kekangan utama Proton untuk meningkatkan kadar pengeluaran adalah kerana kekurangan bekalan cip mikro.

“Masalah (kekurangan cip mikro) ini sekarang berada di tahap global dan selain daripada industri automotif, banyak lagi industri lain seperti industri elektronik juga mengalami masalah sama,” katanya.

‘Batal tempahan sebab lama tunggu’

“Selepas enam bulan menunggu, penasihat jualan memberitahu bahawa stok kereta masih belum ada. Akhirnya saya ambil keputusan untuk membatalkan tempahan.”

Begitu kata eksekutif kewangan Ahmad Aqil Hamden, 25, apabila terpaksa melupakan hasrat untuk membeli kereta Perodua Bezza kerana mendakwa kecewa disebabkan perlu menunggu bagi tempoh lama untuk mendapatkan kenderaan pilihannya.

Menurutnya, dia membuat tempahan kereta itu pada April tahun lalu di sebuah pusat pameran Perodua dan sudah memberikan dokumen lengkap yang diperlukan untuk pinjaman kenderaan.

Katanya, pihak bank sudah meluluskan pinjaman bagi pembelian kereta berkenaan sekali gus membuatkan hatinya rasa tidak sabar menunggu untuk mendapat kenderaan baru.

“Namun sehingga Oktober 2021, stok kereta itu masih tiada. Ia mengecewakan. Lebih-lebih lagi perjanjian pinjaman kenderaan hanya sah tiga bulan dan perlu diperbaharui.

“Maka saya perlu hantar semula dokumen lengkap diperlukan untuk proses pinjaman baharu menyebabkan saya mengambil keputusan membatalkan sahaja tempahan kerana kebetulan keperluan kurang mendesak berbanding ketika saya mula-mula membuat tempahan dahulu,” katanya.

Ahmad Aqil yang bekerja di Bangsar berkata, dia bercadang membeli kereta baharu kerana Perodua Myvi miliknya mahu diberikan kepada adiknya, Imran Yusuf, 22, untuk berulang-alik ke tempat kerja lamanya di Kampung Baru, di sini, dari rumah mereka di Selayang.

Menurutnya, apabila adiknya sudah mendapat kerja lain di sebuah pusat membeli-belah berdekatan Bangsar, dia dan adiknya menaiki kenderaan bersama kerana menuju ke lokasi kerja berhampiran.

“Masa itu di rumah kami ada tiga kereta iaitu milik saya, bapa (Hamden Rashidi, 60) dan ibu (Rozlinda Rahim, 56). Jika adik pinjam kereta ibu dan sekiranya berlaku kecemasan akan menyukarkan ibu walaupun ibu cuma suri rumah sepenuh masa.

“Pada Mac lalu, ayah saya pula bersara, jadi boleh menemani ibu di rumah sekali gus keperluan untuk membeli satu lagi kereta tidak lagi mendesak. Penasihat jualan ada menghubungi saya memberitahu Perodua Bezza sudah ada stok pada Februari lalu, tetapi saya tak ambil sebab rasa belum ada keperluan,” katanya.

Peniaga dalam talian, Ezilea Omar, 42, pula berkata, dia terpaksa membuat pilihan untuk membeli kenderaan yang mempunyai tempoh menunggu tidak lama.

Menurutnya, mengikut perancangan asal, dia lebih berminat mendapatkan Proton X50, tetapi diberitahu penasihat jualan bahawa tiada stok tersedia dan perlu menunggu antara sembilan hingga 12 bulan.

“Selepas meninjau di beberapa pengedar untuk mendapatkan kenderaan yang paling cepat boleh dimiliki, saya membuat keputusan untuk membeli kereta Honda City hatchback.

“Minggu lalu baru masuk tempahan pendaftaran dan insya-Allah dapat dimiliki kereta itu dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan nanti,” katanya sambil memberitahu insentif pengecualian cukai antara faktor untuknya menyegerakan pembelian kereta baru.

Dalam pada itu, Mohd Shafiq Mohd Luthfi Ismail, 36, yang bekerja sendiri berkata, dia berasa lega apabila sudah memperolehi kenderaan utiliti sukan (SUV) idamannya Toyota Corolla Cross.

Katanya, dia membuat pendaftaran tempahan pada hujung Januari lalu dan menerima kenderaan kompak itu pada pertengahan Mei lalu.

“Saya beli versi petrol bukan versi hibrid. Penasihat jualan memberitahu jika nak ambil versi hibrid kena tunggu lebih lama sebab permintaannya tinggi selain kereta berspesifikasi tinggi buat masa ini ada masalah kekurangan bekalan cip mikro.

“Sebelum ini saya pakai Proton Persona. Saya berhasrat tukar sebab selain sudah lama pakai kereta itu, saya mahu menambahbaik dari segi keselesaan dan juga ciri keselamatan,” katanya.

Hak pengguna untuk batal jika penantian tidak berbaloi

Pembeli yang masih menunggu bagi mendapatkan kereta idaman mereka boleh membatalkan tempahan jika berasa tidak berbaloi untuk menunggu dalam tempoh yang lama.

Penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata, orang ramai mempunyai hak untuk membatalkan tempahan, namun kebiasaannya terdapat sedikit bayaran pengurusan yang perlu dijelaskan.

“Lazimnya caj pengurusan dikenakan rendah dan ada juga syarikat kereta yang tidak mengenakan sebarang caj. Sangat penting apabila membuat tempahan, pembeli harus mendapatkan resit rasmi syarikat.

“Namun begitu, pembeli juga boleh menunggu kalau mereka mahu, tetapi jika berniat trade-in (tukar beli) kereta, nilainya akan menurun. Itu puncanya kebanyakan pembeli berubah fikiran dan membeli kereta recond atau kenderaan terpakai sebab pinjaman sudah lulus, namun stok kereta baru gagal diterima.

“Hakikatnya, isu kereta lambat diterima ini bukan masalah yang disengajakan oleh syarikat pengeluar kerana cip mikro adalah punca utamanya. Industri automotif bukanlah pelanggan utama, malah cip mikro juga untuk sektor elektronik dan syarikat pengeluar kenderaan juga perlu ‘berlawan’ dengan industri telefon pintar, gaming, gajet dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, apabila komponen tidak mencukupi, kereta tidak boleh dipasang menyebabkan syarikat besar seperti Toyota mula membeli bahan mentah untuk membuat cip mikro dengan harapan boleh ‘memaksa’ kilang elektronik membuatkan cip khusus untuk stok mereka.

Menurutnya, syarikat pengeluar kenderaan memang sedang mencari penyelesaian terbaik dan mereka sudah mula menempah cip mikro dalam jumlah lebih besar atau membuat tempahan awal.

Isu ini juga katanya, sudah semakin reda sebenarnya tetapi pembeli masih harus menunggu antara dua bulan hingga tiga bulan terutama kereta pemasangan tempatan (CKD).

“Ada satu lagi isu sebenarnya iaitu masalah kekurangan pekerja untuk kilang-kilang vendor komponen tempatan.

“Ini pun menyebabkan pengeluaran menjadi perlahan dan pekerja asing masih tak boleh masuk (bekerja di negara ini) dan ini menyebabkan kekurangan pekerja.

COMMENTS