“Doakan saya” – Diana Amir tampil dengan berniqab
Selepas hampir 10 tahun berhijab, pelakon dan pengacara Diana Amir kini tampil dengan imej berniqab.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Diana mengakui segan untuk bercerita kepada umum tentang penampilan terbaharunya itu kerana beranggapan dia masih dalam proses untuk belajar agama.
“Sebenarnya saya segan hendak kupas tentang isu niqab ini. Kalau ada orang bertanya, saya hanya minta mereka doakan saya.
“Jadi mohon sahabat-sahabat yang berhati mulia, doakanlah saya yang masih perlu belajar ini supaya diberikan kefakihan (tuntutan syariat Islam) agama, taufiq dan hidayah daripada Allah SWT,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Menerusi video pada hantaran sama, Diana yang difahamkan sedang ditemu bual majalah Hijabista berkata, imej baharu ini merupakan satu fasa untuknya memperbaiki diri dalam menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Selain itu ia juga sebagai usaha Diana atau nama penuhnya Nurdiyana Amir Hashim untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah.
“Ini salah satu fasa untuk saya nak dekatkan diri dengan Allah, jadi saya harap doakan yang terbaik. Yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan paling penting hati saya melakukan apa-apa saja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahitaala. Semoga mendapat rahmat Allah,” katanya.
Tambah pelakon berusia 36 tahun itu lagi, dia yakin bahawa Allah SWT akan membantu untuk mendekatkan diri seseorang yang sedang istiqamah itu selagi niatnya adalah kerana Tuhan.
“Sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan, bersangka baiklah kepada Allah. Setiap apa yang kita lakukan, carilah kebaikannya,” kata Diana lagi.