Drama gay melayu: Menteri agama baru nak rujuk SKMM

Drama gay melayu: Menteri agama baru nak rujuk SKMM

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merujuk kes pelakon yang melakonkan watak gay kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memohon pihak berautoriti berkenaan mempertimbangkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada

Memetik laporan Harakahdaily, JAKIM dalam satu kenyataan menyatakan memandang serius isu berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Keluarga Malaysia khususnya umat Islam.

Sehubungan itu, JAKIM berharap kepada pihak yang terbabit agar sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini dan tidak bertindak di luar batas dengan nilai ketimuran yang dibudayakan sejak sekian lama dengan aman dan harmoni.

“JAKIM juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta diambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan media Unit Komuniksi Korporat JAKIM, hari ini.

Kenyataan JAKIM itu merujuk laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin 6 Disember 2021 yang memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang memaklumkan bahawa JAKIM akan merujuk isu seorang pelakon lelaki yang melakonkan babak romantik bersama pelakon lelaki lain dalam sebuah siri drama kepada pihak SKMM.