Fitnah Anwar ejen Israel, Hadi Awang terima padah disiasat

Fitnah Anwar ejen Israel, Hadi Awang terima padah disiasat

Bukit Aman telah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membuat tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, polis menerima laporan berhubung dakwaan Presiden PAS terhadap Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

“Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun Facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

“Abdul Hadi turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.