Gempar! Anggota kastam tembak tayar lori degil berhenti

Gempar! Anggota kastam tembak tayar lori degil berhenti

BEBERAPA das tembakan dilepaskan oleh anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas sebuah lori cuba mengundur untuk melanggar kenderaan yang dinaiki anggota penguatkuasa itu.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Nusa Jaya, Johor itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain sebelum tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 1 minit 22 saat itu, kenderaan kastam itu pada mulanya telah membunyikan siren dan mengikut rapat lori berkenaan.

Namun, lori itu secara tiba-tiba berhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan sebelum mengundur dan cuba melanggar kenderaan pihak berkuasa.

Seorang anggota JDKM kemudian telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori berkenaan.

Lori itu bagaimanapun terus melarikan diri dan memandu secara melulu dalam keadaan tayar yang dipercayai telah pancit sambil dikejar pihak berkuasa.

Bagaimanapun lori berkenaan berjaya ditahan dengan bantuan beberapa unit peronda polis.

Rata-rata komen warganet juga meyatakan rasa setuju dengan tindakan anggota JKDM itu kerana suspek telah cuba mengancam keselamatan mereka.

“Apa yang berlaku memang mengancam nyawa anggota dan aset jabatan. Mestilah kena bertindak,” kata Anizan Osman.

“Sebab itu ada tembakan amaran dan tembak tayar. Sudah mengancam nyawa dan aset jabatan,” kata Nasha Nazlan.

Sementara itu, Majoriti dimaklumkan yang pihak polis sudah mengambil maklum perkara tersebut dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.