Gempar! Anggota tentera di Kelantan bersama tunang didakwa gugur janin

Gempar! Anggota tentera di Kelantan bersama tunang didakwa gugur janin

Wanita dan bekas tunangnya yang juga anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menggugurkan janin berusia lima bulan, dua tahun lalu.

Tertuduh Dayang Nur Juliena Johari, 20, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, manakala Muhamad Nasarudin Hashim, 26, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama menggunakan sebiji pil hendak mengelakkan janin berusia lima bulan daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan janin mati selepas dilahirkan.

Harian Metro melaporkan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini, pada 11 malam, 22 Mei 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid, manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Fariz menawarkan, kedua-dua tertuduh diberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh membuat rayuan supaya ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh wanita akan menyambung pelajaran, manakala tertuduh lelaki banyak komitmen kewangan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.