Gempar! Data 500 juta pengguna WhatsApp dijual secara online

Gempar! Data 500 juta pengguna WhatsApp dijual secara online

Isu kebocoran dan penjualan data peribadi orang ramai termasuk rakyat Malaysia secara dalam talian bukanlah satu perkara baharu.

Malah di negara kita sekurang-kurangnya setahun sekali pasti ada sahaja dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan data peribadi rakyat Malaysia yang ditawarkan di forum pasaran pangkalan data.

Terbaharu Cybernews melaporkan lebih 500 juta data pengguna platform WhatsApp yang kini terdedah dan sedia dijual secara dalam talian sejak 16 November lalu.

Data 11.6 juta pengguna WhatsApp Malaysia turut tersenarai

Seperti yang dijangka, data jutaan pengguna WhatsApp di Malaysia turut tersenarai di dalam tawaran jualan tersebut.

Memetik laporan Lowyat.net, sekurang-kurangnya terdapat 11.6 juta data pengguna tempatan yang dipercayai menjadi mangsa menjadikan Malaysia berada di tempat ke-12 tertinggi di antara 84 negara terlibat.

Mesir, Itali dan Amerika Syarikat dilihat mendahului senarai di tempat pertama, kedua dan ketiga diikuti pengguna di Arab Saudi dan juga Perancis.

Namun angka ini dilihat bertambah apabila terdapat satu lagi set berbeza yang turut ditawarkan menjadikan data keseluruhan yang dijual adalah 1.5 bilion di mana 21 juta darinya merupakan pengguna dari Malaysia.

Bagi membuktikan kata-katanya, penjual tersebut turut berkongsi beberapa nombor pengguna di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) kepada Cybernews yang kemudiannya disahkan adakah milik pengguna WhatsApp.

Penjual ini bagaimanapun tidak menyatakan dari manakah dia berjaya mendapat kesemua data-data berkenaaan.

Namun pihak Cybernews menjangkakan ianya menggunakan teknik ‘scraping’ yang sememangnya adalah menyalahi syarat perkhidmatan WhatsApp.