Gempar! Harga roti canai sekeping RM4

Gempar! Harga roti canai sekeping RM4

 

Sejak kebelakangan ini, isu kenaikan harga makanan antara topik yang hangat diperkatakan di media sosial.

Bermula dengan isu ikan siakap yang mencecah ribuan ringgit, media sosial kemudian panas dengan isu sotong goreng RM100 diikuti kailan ikan masin RM18.

Terbaharu, ada pula pelanggan yang mendakwa perlu membayar RM4 untuk sekeping roti canai biasa di sebuah gerai di tepi jalan di Pulau Langkawi, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff aduan tersebut diterima pihaknya dari seorang pelancong yang terkejut dengan harga tersebut.

“Walaupun kita sedia maklum harga barangan dan bahan mentah mahal sekarang namun harga yang dikenakan pemilik gerai berkenaan tidak masuk akal,” kata Mohamad Yusrizal.

Isu telah lama berlaku

Jelas Mohamad Yusrizal, isu kenaikan harga makanan di Langkawi terutamanya ketika musim cuti sebenarnya sudah lama berlaku.

Namun ia kembali hangat diperkatakan selepas pembukaan gelombang pelancongan pada September lalu.

“Dari dulu peniaga makanan di Langkawi ini akan menjual harga mahal jika tiba musim kemasukan pelancong dan ia kembali disoalkan setelah pembukaan gelombang pelancongan September lalu.

“Oleh itu, pihak kami meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah supaya selalu membuat pemeriksaan di premis dan gerai makanan yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi,” katanya.

Lebih 100 aduan baru sejak 2 minggu lalu

Percaya atau tidak, Yusrizal turut mendedahkan pihaknya telah menerima lebih 100 aduan oleh pengguna berhubung kenaikan harga makanan dan bahan mentah di Kedah sejak dua minggu lalu.

Justeru dia menasihatkan peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya selain turut meletakkan tanga harga agar pembeli boleh membuat pilihan sebelum melakukan pesanan.