Gempar! Ibu Adib terkejut dan sedih, kerajaan musnahkan harapan keluarga

Gempar! Ibu Adib terkejut dan sedih, kerajaan musnahkan harapan keluarga

Keputusan menutup sementara kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim memusnahkan harapan keluarga Allahyarham bagi menuntut pembelaan atas kejadian yang berlaku hampir tiga tahun lepas.

Ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 54, berkata, dia terkejut dan sedih apabila dimaklumkan bahawa kes kematian anak lelakinya itu akan ditutup sementara dan hanya akan dibuka apabila terdapat bukti baharu.

Malah, dia tertanya-tanya mengapa kes tersebut ditutup sedangkan individu yang terlibat dengan kematian anaknya itu masih belum ditangkap.

“Mengapa kes anak saya ditutup sementara tanpa dimaklumkan kepada kami terlebih dahulu. Sepatutnya tanyalah pandangan keluarga dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jikalau mereka tidak mencari pelaku kes ini, siapa lagi yang nak cari. Tak kan saya sendiri yang kena cari.

“Kami berharap agar siasatan kes tidak ditutup walaupun sementara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau di sini pada Rabu.

Asma berkata, mereka sekeluarga juga yakin bukti baharu terhadap kematian anak kedua daripada empat beradik itu akan muncul sekiranya siasatan terus berjalan.

“Cuba letakkan diri di tempat kami, golongan orang biasa. Mereka boleh cakap tutup sementara sahaja, namun pertimbangkanlah hati ibu bapa Adib,” katanya.

Asma berkata, keluarganya juga berharap kematian Muhammad Adib akan terbela apabila kerajaan baharu bertukar, namun ia tidak berlaku.

Lebih mengejutkan, katanya, ada yang bertanya sama ada keluarga Allahyarham sudah menerima pampasan yang besar daripada kerajaan atau sebaliknya berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, Asma berkata, keluarga menafikan menerima perkara tersebut.

“Saya bimbang rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini akan mendakwa keluarga Allahyarham berdiam diri selepas menerima pampasan, sedangkan ia tidak benar kerana kami tidak menerima wang dimaksudkan itu, ” katanya.

Asma bagaimanapun berterima kasih atas sokongan dan doa tanpa henti rakyat Malaysia supaya kematian anak lelakinya itu terus terbela.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu.

Zuraida berkata, kerajaan kini akan memberi fokus kepada keperluan keluarga Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.