Gempar! Pejuang anti vaksin Amerika Syarikat meninggal dunia akibat COVID-19

Gempar! Pejuang anti vaksin Amerika Syarikat meninggal dunia akibat COVID-19

Seorang wanita di Amerika Syarikat yang berpegang kuat dengan dakyah anti vaksin dan anti pelitup muka telah dilaporkan meninggal dunia akibat wabak COVID-19. Kristan Lowery, ibu kepada empat anak sebelum ini lantang menyatakan pendirian bahawa dia tidak akan memakai pelitup muka, tidak tertipu, tidak mengambil vaksin dan tidak takut.

Dilaporkan oleh Harian Metro yang memetik berita The Independent, adik Lowery telah bertindak memuat naik satu status yang menyatakan bahawa kakaknya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan wabak COVID-19, “Kakak saya, Kristen, berada di hospital berjuang melawan COVID-19 dan mengalami radang paru-paru.”

Adiknya turut menyatakan bahawa sekarang bukanlah situasi terbaik untuk berdebat mengenai vaksin atau tidak, “Ini bukan politik.”

Berita kematian Lowery dikongsikan pada 15 September lalu oleh ahli keluarga. Mereka juga telah memohon sumbangan derma dari orang ramai bagi menguruskan pengebumian Lowery, “Anak saudara saya yang cantik tewas dalam pertarungan melawan COVID-19,” tulis ibu saudaranya.

Terdahulu, Seorang ketua aktivis anti-vaksin terkemuka di Israel, Hai Shaulian, meninggal dunia pada hari Isnin, 13 September, setelah dia dimasukkan ke hospital akibat jangkitan wabak COVID-19.

Menurut laman Jerusalem Post, lelaki berusia 57 tahun itu dimasukkan ke hospital seminggu yang lalu di Pusat Perubatan Wolfson di Holon setelah dia didapati positif dengan wabak yang telah membunuh ramai orang di seluruh dunia.

Dia sebelum ini banyak menulis di media sosial mengajak orang ramai untuk tidak mengambil vaksin. Dia juga pernah mengadakan tunjuk perasaan yang menentang sistem Green Pass milik kerajaan Israel yang membuka ruang untuk mereka yang sudah divaksin penuh untuk bebas.

Difahamkan kesihatannya semakin merosot seminggu selepas dia ditahan dan dua hari sebelum kematiannya, dia masih sempat menentang program vaksinasi kerajaan Israel dan meminta agar pengikutnya untuk meneruskan perjuangan mereka.