Gempar! Pekerja DBKL jumpa mayat bayi di tapak pelupusan sampah
Mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah tong sampah di sini, semalam.
Ia ditemui berhampiran tempat letak kenderaan bertingkat Flat Bandar Tun Razak, Cheras, menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.
Katanya, perkara itu disedari pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika lelaki warga asing itu sedang memungut sampah, kira-kira pukul 5.50 petang semalam.
“Dia (pekerja DBKL) mendakwa semasa mengambil tong sampah di bawah flat tersebut, dia ternampak mayat bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat di atas tong sampah tersebut.
“Dan dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada penyelianya,” kata Muhammad Idzam dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, mayat bayi malang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, tiada sebarang pengenalan diri ditinggalkan pada mayat itu.
“Polis masih menjalankan siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berhampiran.