Gempar! Penyampai radio tersilap siar azan Maghrib 4 minit awal

Gempar! Penyampai radio tersilap siar azan Maghrib 4 minit awal

Sejak semalam, penduduk di Tawau, Sabah hangat memperkatakan mengenai insiden penyiaran azan beberapa minit lebih awal dan selama dua kali oleh sebuah stesen tempatan iaitu Tawau FM.

Insiden tersebut menyebabkan segelintir penduduk tempatan yang berpandukan radio tersebut terkeliru hingga berbuka puasa 4 minit lebih awal iaitu pada jam 6.16 petang sedangkan waktu sebenar ialah 6.20 petang.

Peka dengan isu tersebut, penyampai radio Mohd Safwan Junit kemudiannya tampil menerusi satu hantaran di Facebook memohon maaf kepada orang ramai dan menjelaskan insiden tersebut berlaku secara tidak sengaja dan disebabkan kesilapan teknikal.

“Saya, Mohd Safwan Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Sehubungan itu, dia memohon maaf kepada orang ramai khususnya warga Tawau yang terkesan dengan situasi tidak diduga itu.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri, secara peribadi, memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan keadaan ini.

“Kesilapan ini datang dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM. Yang baik datangnya dari Allah yang kurang dari saya sendiri,” katanya lagi.

Pengakuan secara terbuka yang dilakukan Mohd Safwan nyata mendapat pelbagai reaksi di mana rata-rata dilihat memuji tindakannya kerana berani tampil memohon maaf dan membuat pengakuan secara terbuka.

Adakah puasa terbatal?

Menurut Pejabat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,  mereka lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:

  • Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187.
  • Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.
  • Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.
  • Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:

عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”