Gempar! Polis siap siaga ancaman pencerobohan dan serangan di Lahad Datu

Gempar! Polis siap siaga ancaman pencerobohan dan serangan di Lahad Datu

Tiada yang lebih mengejutkan buat rakyat Malaysia khususnya yang berada di Malaysia Timur sebaik mengetahui terdapat satu plot baharu dari Selatan Filipina untuk menceroboh dan menawan Sabah pada 2022.

Meskipun tidak dapat disahkan kesahihan maklumat tersebut, ramai yang mula meluahkan rasa bimbang apatah lagi mereka di sana menggunakan alasan untuk menyerang Sabah bersempena dengan tragedi Lahad Datu yang berlaku 8 tahun lalu.

Foto : RAppler

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu kenyataaan memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan mereka sentiasa bersiap siaga menghadapi apa sahaja bentuk ancaman.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya bagaimanapun mengambil serius laporan tersebut demi mengelakkan sebarang insiden pencerobohan berulang di sana.

“Tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan pada tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di negeri itu,” kata Acryl Sani.

 

Mungkin maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak yang cemburu

Beliau turut meyuarakan keyakinan bahawa hubungan baik dengan pihak berkuasa di negara itu khususnya dalam aspek perkongsian maklumat akan mampu menghalang sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan di antara dua negara.

“Tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ianya dipercayai merupakan maklumat yang telah dimanipulasi pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat negeri Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“Usaha akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan,” tambah beliau lagi.

Beliau dalam masa sama turut menekankan, sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas.