GEMPAR | Siapa berunding dengan Azmin dalam Sheraton 2.0?

GEMPAR | Siapa berunding dengan Azmin dalam Sheraton 2.0?

SIAPAKAH agaknya gerangan yang berunding dengah DS Azmin Ali Menteri Kanan, bekas Timbalan Presiden PKR yang telah menderhakai perjuangan? Ia menjadi tandatanya, tambahan pula ia dikabarkan berlaku di Hotel Sheraton. Hotel yang menoktahkan sejarah pengkhianatan kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan (PH).

Kebetulan pula ia berlaku setelah selesai pemilihan kepimpinan utama PKR dan kebetulan juga ada ura-ura berlaku sedikit ‘adjustment’ kepada keputusan pemilihan selepas audit forensik dilakukan.

Sekiranya benar berlaku satu lagi perundingan dan dengan pengkhianat pula, adakah ia mendapat restu kepimpinan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sendiri. Apakah perundingan ini didalangi oleh dalang dan kartel yang masih berada di dalam PKR atau terdiri dari kuncu-kuncu pengkhianat yang berminat untuk memusnahkan PKR dan juga Pakatan Haran (PH). Kedua-duanya mungkin juga berlaku seiiringan.

Mungkin juga ini ada kaitan dengan kenyataan YB Langkawi yang menyalahkan DSAI sehingga beliau bukan lagi Perdana Menteri ketika ini. Semua kemungkinan ini tidak boleh diabaikan semua sekali. Ia memerlukan kebijakan pimpinan PH untuk menanganinya dengan penuh kesedaran, berhemah dan bersoladiriti.

Apakah intipati rundingan Sheraton 2.0? Adakah ia satu lagi muslihat untuk menafikan DSAI dan PH bergerak kehadapan untuk berada dipersada politik tanahair? Sepertimana Langkah Sheraton 1.0, Azmin dan Mahiaddin adalah sosok utama bagi meruntuhkan kerajaan PH. Sosok tidak jujur ini menggunakan helah kesatuan Melayu dan bersama Pas menjaja ketaksuban agama.

Umno pula kerana ketamakannya kerana kekuasaan dan helah untuk membebaskan kluster mahkamah dari palitan rasuah dan salah-guna kuasa, telah mengambil kesempatan tersebut bagi menyokong para pengkhianat bagi menjadi kerajaan semula.

Mereka mara membentuk kerajaan, pada mulanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini kita tidak pasti kerajaan jenama apa yang diterajui oleh Umno/BN. Azmin membawa sebahagian MP PKR menyertai beliau dan diikuti dengan episod drama kisah benar perletakan jawatan Tun sebagai PM. Maka runtuhlah kerajaan PH.

Namun Azmin tidak pergi membawa keseluruhan gerombolan penyokong menyertai kerajaan baharu. Sebahagiannya masih tinggal berada di dalam PKR dan terdapat juga sebilangan kecil yang masih berada dalam kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PH. Kita menyaksikan bahawa sebahagian mereka ini di belakang pemilihan kepimpinan utama PKR untuk meredam kemaraan Rafizi Ramli! Namun mereka setakat ini masih belum berjaya.

Mungkinkah mereka sedang merancang sesuatu muslihat dan strategi gerakan baharu bagi memporak-perandakan PKR selepas keputusan tidak rasmi pemilihan keluar baru-baru ini. Golongan pengkhianat, kartel dan pelahap kuasa ini nampaknya sedang mengatur sesuatu bagi merempoh dan mengkucar-kacirkan PKR.

Sheraton Move telah membentuk kerajaan pintu belakang yang kemudiannya dilebelkan sebagai kerajaan gagal.

Dengan PKR kekal berada dalam suasana krisis dan kucar kacir sehingga PRU15 maka mereka akan pasti terus berjaya membentuk kerajaan samada bersama Umno/BN atau dengan pasukan lain. Naratif DAP sebagai kumpulan anti Melayu, anti Agama dan kumpulan ‘extremis’ akan diperhebatkan dan ia sudah pasti akan didokong dan dgerakkan oleh sekutu mereka dari Pas.

Penulis nampak kumpulan kartel ini lebih menjurus kearah ini. Memastikan keputusan pemilihan PKR akan terus dipersoal dan menimbulkan keraguan yang munasabah supaya PKR porak peranda. Mereka mahu memastikan DSAI gagal meyakinkan ahli PKR bahawa PKR berada dalam satu kesatuan fikrah dan amal.

Kartel mahu memastikan bahawa DSAI dan Rafizi bukan pasangan kepimpinan secocok dan seterusnya melagakan-lagakan pasukan yang tidak berjaya dengan yang memenangi pemilihan kali ini. Konvensyen PKR yang akan berlangsung pada pertengahan Julai ini akan menjadi sasaran para perunding Sheraton 2.0 bagi memastikan perbahasan konvensyen dihangatkan dengan perbahasan dengan tujuan memporak-peranda dan melunyaikan keyakinan ahli PKR.

Perbincangan Sheraton 2.0 mungkin juga mahu memastikan PH terbubar sepertimana yang telah berjaya dilakukan dahulu oleh Umno dan Pas bagi memastikan Pakatan Rakyat tekubur. Mereka telah berpengalaman dalam hal ini dan pasukan PH harus waspada.

Pengalaman politik Umno/BN selama lebih 60 tahun tidak boleh dipandang remeh samasekali walaupun tanpa keujudan kluster mahkamah. Dengan keluarnya Zuraida dari pasukan Azmin sebagai ‘Presiden Pengganti” dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM), sedikit menjejaskan Azmin. PBM khabarnya mesra BN dan kemungkinan menganggotai BN. Berdasar senario ini, mereka telah menguruskan pasukan Azmin dalam Bersatu dan PN. Jadi bagi kartel sesuatu perlu dilakukan.

BN sudah pasti sebagaimana biasa akan mengambil sikap tunggu dan lihat. Mereka hanya mahu kembali berkuasa sepenuhnya. Jajaran politik mereka adalah kekuasan semata-mata, bagi memastikan pembolotan hasil kekayaan negara berlegar dikalangan mereka. Jauh sekali untuk menyelesaikan kemelut rakyat dan memantapkan ekonomi negara.

Akhir sekali, rundingan Sheraton 2.0 di antara Azmin dengan ‘beberapa’ kepimpinan PKR, ini juga mahu meninjau bagaimana mereka mahu kekal ditampok kekuasaan dengan apa cara sekalipun. Bagi mereka semuanya halal, hatta menghianati mandat rakyat sekalipun dengan perlakuan khianat adalah halal. Mereka mengintai-intai kemungkinan apa sahaja. Samada bersama khemah besar, berpakat dengan BN atau PN, dengan matlamatnya mahu berkuasa.

PH harus mengambil sikap proaktif dan menjauhkan diri dari retorik politik. Jika benar ada rundingan Azmin dan ‘beberapa’ pimpinan PKR maka itu perlu ditangani dengan kekuatan dan solidariti. Jika ia bukan dari restu kepimpinan, maka mereka yang berunding haru dipecat dan butirang-butiran terma rundingan khianat perlu dihebahkan.

PH juga jangan lupa dengan Tun M yang tidak habis-habisan mendabik dada bahawa beliau sahajalah yang betul, layak dan mampu mentadbir negara. Beliau seorang negarawan, akan tetapi negarawan juga akan tiba masa telah tumpul idea dan sentuhan sengatannya tidak semesti berbisa lagi.

Politik kebencian Tun M terhadap kluster mahkamah tidak semestinya boleh digunakan lagi bagi mengangkat PH. Kemusnahan kerajaan PH sebahagian besarnya adalah akibat men’dewa’kan Tun M sebagai pemimpin yang versatil, berdaya maju dan terkehadapan. Hakikatnya ramai lagi tokoh yang lebih berkualiti sesuai dengan masa kini. Tun M sesuai untuk masanya dan masa itu telah tamat.


Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walabagaimapun penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.