Guan Eng setuju kerajaan negeri PH beri hak sama rata kepada pembangkang

Guan Eng setuju kerajaan negeri PH beri hak sama rata kepada pembangkang

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan beliau bersetuju sekiranya peruntukan sama rata diberikan kepada ADUN pembangkang termasuk di negeri diperintah PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, langkah itu sebagai balasan keterbukaan kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH pada Isnin.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau sendiri telah mencadangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, supaya memberikan peruntukan sama rata kepada wakil pembangkang di negeri itu.

“Apa yang Muar syorkan memang saya setuju, saya telah berhubung dengan ketua menteri Pulau Pinang tentang perkara ini (peruntukan sama rata) dan beliau setuju, negeri lain yang ditadbir PH terpulang, tapi saya sendiri akan syor dalam mesyuarat Majlis Presiden PH untuk buat balasan sama selepas MoU dengan kerajaan pusat,” katanya ketika membahaskan titah Agong di Dewan Rakyat, lapor FMT.

Beliau juga bersetuju negeri yang diperintah kerajaan juga turut membuat peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang.

Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) bangkit mecelah mencadangkan Guan Eng supaya negeri diperintah PH diberi peruntukan dan layanan sama kepada wakil pembangkang selepas satu MoU bersama kerajaan dilakukan diperingkat pusat bagi memastikan reformasi dilakukan secara menyeluruh.

Guan Eng turut memaklumkan MoU antara PH dan kerajaan adalah bersyarat dan jika kerajaan tidak memenuhinya ia akan terbatal dengan sendiri.

“Saya nk tegaskan yang berlaku adalah persetujuan oleh pihak PH sekiranya ada undi percaya pihak pembangkang ambil sikap berkecuali dan sokong Belanjawan 2022 dengan prasyarat di mana perlu ada perbincangan dengan pembangkang dan input pembangkang dipertimbang masuk dalam belanjawan maka kita sedia berkecuali dalam undian,” katanya.

Semalam, kerajaan persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ia mengandungi tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.