Guru dituduh cabul murid umur 12 tahun dibebas oleh pihak polis dengan jaminan

Guru dituduh cabul murid umur 12 tahun dibebas oleh pihak polis dengan jaminan

SEORANG guru lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes dakwaan mencabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Langkawi, Kedah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, guru lelaki berusia 48 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman sejak 21 Julai lalu.

“Setakat ini, rakaman percakapan guru tersebut, mangsa dan saksi kes selesai.

“Beberapa dokumen juga sedang diperoleh untuk melengkapkan siasatan, seterusnya kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru lelaki direman seminggu untuk membantu siasatan kes dakwaan mencabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Langkawi susulan laporan polis seorang wanita.

Kes disiasat di bawah seksyen 14/a Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.