Guru ini tetap gigih mengajar walaupun guna alat bantuan oksigen

Guru ini tetap gigih mengajar walaupun guna alat bantuan oksigen

Menjadi seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah, kerana mereka bukan sahaja diamanahkan untuk menyampaikan ilmu semata-mata tetapi menjadi salah satu contoh kepada anak murid.

Baru-baru ini tular satu ciapan di Twitter yang memaparkan seorang guru yang memakai alat pernafasan masih gigih mengajar anak muridnya meskipun dirinya tidak sihat.

Menerusi ciapan yang dikongsikan oleh pemuda itu, dia memaklumkan guru tersebut merupakan ibu saudaranya yang mengajar di sebuah sekolah di Kota Tinggi, Johor.

Asthma jadi lebih teruk lepas jangkitan Covid-19

“Ramai tak tahu yang viral satu Malaysia hari tu kes cikgu yang tetap mengajar walaupun boleh dikatakan kritikal adalah adik arwah ayah aku.

“Dia ada asthma yang kronik tapi bertambah teruk sebab kena Covid-19,” tulis pemuda yang dikenali sebagai @rulduff di Twitter.

Katanya, ibu saudara yang mesra di panggil Mak Andak tetap bersemangat untuk mengajar meskipun terpaksa memakai alat bantuan pernafasan kerana tidak mahu anak muridnya itu ketinggalan.

Bukan kerana wang semata-mata tetapi kerana minat yang mendalam dalam bidang pendidikan

Bukan setakat mengajar anak didiknya, makciknya itu turut mengambil inisiatif mengajar kesemua anak saudaranya dari mereka kecil tanpa mengharapkan balasan.

Tambah @rulfduff lagi, Mak Andaknya itu bukanlah mengajar untuk mencari wang semata-mata, tetapi kerana itu merupakan minatnya dalam mendidik anak bangsa untuk menjadi lebih baik lagi.

“Dia ni kalau tak mengajar pun tak apa sebab dia bukan orang susah, tetapi memang passion dia mengajar dan dari aku Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sampai Ujian Bahasa Inggeris Malaysia (MUET) dia lah cikgu tuition aku,” katanya lagi.

Memerlukan bantuan penafasan sejak pulih Covid-19

Menurutnya, sebelum ini video berhubung ibu saudaranya memakai alat bantuan pernafasan itu merupakan video yang dirakam oleh salah seorang daripada anak muridnya.

Pemuda ini walau bagaimanapun turut meminta orang ramai mendoakan kesihatan ibu saudaranya itu agar terus diberikan kesihatan yang baik.

“Saya sebagai anak buah dan baru berjumpa dia Sabtu hari tu. Alhamdulillah dia bertambah baik. Tapi memang memerlukan bantuan pernafasan sejak pulih Covid-19.

“Dia beritahu yang baru kena jangkitan itu. Terpaksa tidur dengan enam bantal (duduk bersandar) dan minggu lepas baru dapat tidur dengan dua bantal (baring).

“Jujur dia dah ambil vaksin sepenuhnya. Jadi doakanlah kesembuhan Mak Andak saya,” jelasnya lagi.

[Kemaskini] Menerusi pemerhatian kami, ciapan itu bagaimanapun telah dipadam oleh pemuda itu. Dia yang tampil menerusi satu lagi ciapan memaklumkan membuat sedemikian atas permintaan dari ibu saudaranya itu.