Habislah kamu Siti Bainun, TMJ pula bersuara!

Habislah kamu Siti Bainun, TMJ pula bersuara!

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran itu.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Tunku Ismail berkata, kes pendakwaan pada ketika ini membabitkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam, dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT).

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” titahnya.

Terdahulu, nasib malang menimpa Bella, 13, turut mendapati perhatian isteri TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Khaleeda menerusi perkongsian dalam akaun Twitter menyatakan, akan berusaha bagi menuntut keadilan bagi Bella.

“Saya akan buat apa sahaja bagi mendapatkan keadilan buat Bella.

“Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa sahaja terhadap kanak-kanak tidak berupaya dan fikir mereka akan terlepas.

“Kamu boleh berselindung di sebalik barisan peguam kamu tetapi akhirnya karma akan tiba pada waktunya di dunia mahupun akhirat,” katanya.

Remaja berkenaan yang ketiadaan ibu dan bapa sejak ditemui dan dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju yang diasas Siti Bainun.

Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.