Hadi ajar Umno, jangan dengar cakap Umno bahagian

Hadi ajar Umno, jangan dengar cakap Umno bahagian

PAS mendakwa majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan parti itu di sebalik hubungan baiknya dengan Bersatu.

Justeru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi ‘nasihat’ agar ahli Umno mengikut keputusan MKT Umno dan bukan pandangan pemimpin di peringkat bahagian.

“Saya difahamkan majoriti ahli MKT Umno (mahu) berkerjasama… Umno kena ikut pemimpin, majlis tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ni akar umbi… itu lain cerita.

“Kita tak boleh pakai demokrasi barat. Kita kena ikut pimpinanlah,” katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini, lapor Malaysiakini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian menjawab pertanyaan sama ada beliau yakin Umno mahu bekerjasama dengan PAS atau sebaliknya.

Kelmarin Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak PAS setuju untuk menegaskan kepentingan ‘Memperkasakan MN dan Perikatan Nasional (PN)’ dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Marsyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata kata sepakat itu diputuskan pada sidang berkenaan bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan Raya PAS Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15’.

Katanya, perundingan kerusi antara parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan bagi mendapat kemenangan majoriti besar.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PAS bekerjasama dengan Bersatu menerusi PN menentang BN.

Namun PAS yang bertanding lapan kerusi kalah kesemuanya.

BN kemudian membentuk kerajaan negeri di Melaka dengan majoriti dua pertiga.